Bilangan penduduk bekerja meningkat

PUTRAJAYA: Bilangan penduduk bekerja di negara ini meningkat sebanyak 2.2 peratus iaitu sebanyak 15.57 juta orang berbanding suku sama pada tahun sebelumnya iaitu 15.24 juta orang.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata perkembangan itu sekali gus menurunkan kadar pengangguran sebanyak 13 peratus atau lebih 671,000 berbanding sebelum ini pada kadar 771,000.

“Memandangkan keadaan hampir kembali normal, aktiviti sosioekonomi yang lebih rancak berterusan pada suku tahun berkenaan. Oleh itu, ekonomi berkembang lima peratus pada suku pertama 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus pada suku sebelumnya.

“Senario pasaran buruh yang menggalakkan berterusan pada suku tahun ini menjadikan guna tenaga semakin meningkat manakala pengangguran berkurangan lanjutan daripada pengukuhan permintaan buruh oleh sektor ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, kadar pengangguran menyusut 0.7 mata peratus kepada 4.1 peratus dan mendorong kepada peningkatan bilangan tenaga buruh sebanyak 1.5 peratus kepada 16.25 juta orang pada suku tahun ini.

“Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) naik 0.4 mata peratus kepada 69 peratus. Walaupun KPTB ini adalah yang tertinggi dicatatkan sejak suku pertama 2020, kadar ini adalah 0.1 mata peratus lebih rendah berbanding yang direkodkan pada suku keempat 2019 iaitu suku tahun sebelum pandemik COVID-19,” katanya.

Mengulas mengenai situasi guna tenaga tidak penuh, Mohd Uzir berkata, dengan pembukaan semula aktiviti perniagaan dan sosial secara berterusan dengan kapasiti penuh sepanjang suku pertama 2022, bilangan penduduk yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu menurun sebanyak 23.9 peratus berbanding suku sama 2021 yang mencatatkan 336,300 orang.

“Selaras dengan ini, bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa berkurang sebanyak 21.1 peratus kepada 245,100 orang berbanding 1.6 peratus pada masa yang sama.

“Bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang menunjukkan mereka yang berpendidikan tertiari namun bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah merekodkan seramai 1.81 juta orang dengan kadar 36.9 peratus.

“Walaupun bilangan yang dicatatkan lebih rendah berbanding suku sama tahun sebelumnya, kumpulan ini merangkumi lebih satu pertiga daripada penduduk bekerja berpendidikan tertiari,” katanya.

Bagi permintaan buruh di negara ini, beliau berkata jumlah jawatan dalam sektor ekonomi terus meningkat dengan merekodkan pertambahan dari tahun ke tahun sebanyak 1.8 peratus kepada 8.57 juta jawatan yang melebihi bilangan sebelum pandemik pada suku tahun keempat 2019.

“Jawatan diisi merangkumi 97.8 peratus daripada jumlah jawatan, ia meningkat sebanyak1.7 peratus kepada 8.39 juta berikutan penyertaan pasaran buruh yang memberangsangkan.

“Sementara itu, kekosongan jawatan yang meliputi 2.2 peratus lagi daripada jumlah jawatan meningkat 3.6 peratus kepada 184,300 kekosongan. Sejumlah 25,800 jawatan sudah diwujudkan pada suku tahun ini.

“Peningkatan sebanyak 48.6 peratus dalam pewujudan jawatan berbanding setahun yang lalu juga menunjukkan permintaan buruh yang lebih kukuh pada suku tahun ini, sekaligus akan membuka lebih peluang untuk pencarian pekerjaan.

“Pada masa sama, nilai ditambah per jam bekerja merekodkan peningkatan marginal 0.3 peratus dengan nilai RM40.3 per jam berbanding pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 1.3 peratus pada suku sebelumnya. Jumlah jam bekerja melonjak 4.6 peratus mencatatkan 8.94 bilion jam pada suku tahun ini,” katanya.

Tambah Mohd Uzir, sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Turut memberi penekanan kepada reformasi pasaran buruh sebagai pemangkin dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

Beliau berkata, ia termasuk menaikkan penengah gaji dan upah bulanan; mempertingkat sumbangan pampasan pekerja kepada keluaran dalam negeri kasar; serta meningkatkan pertumbuhan produktiviti buruh per pekerja sebanyak 3.6 peratus dalam tempoh lima tahun.

“Walaupun negara berada di landasan yang tepat ke arah mencapai sebahagian besar sasaran berkenaan, sebahagiannya lagi terjejas berikutan pandemik yang berlaku.

“Memandangkan seluruh negara berada dalam fasa akhir Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak Januari 2022, pasaran buruh Malaysia pada suku pertama 2022 semakin meningkat berbanding suku yang sama pada 2021.

“Pasaran buruh juga menunjukkan kedudukan yang lebih baik berbanding suku sebelumnya meskipun pada kadar yang lebih perlahan.

“Malah kelonggaran pengeluaran khas oleh pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meringankan beban mereka yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19 dilihat akan memberi impak positif kepada ekonomi, seterusnya meningkatkan lagi permintaan barangan dan perkhidmatan mengambil kira faktor bulan Ramadan dan diikuti dengan sambutan Aidilfitri yang turut jatuh pada suku tahun ini.

“Dengan normalisasi aktiviti sosial dan ekonomi, ia dijangka akan merangsang kedudukan pasaran buruh dari segi peningkatan permintaan oleh industri dan penurunan berterusan bilangan penganggur.

“Bagaimanapun, prospek berkenaan tertakluk kepada pelbagai cabaran ekonomi global termasuk ketegangan geopolitik berterusan antara Russia dan Ukraine,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply