Hafizuddin penjaga gawang utama Malaysia

Kuala Terengganu: Penjaga gol hoki berpengalaman, Muhammad Hafizuddin Othman bersedia memberikan aksi terbaik apabila menggalas tugas di Kejohanan Piala Asia di Jakarta, Indonesia, bermula 23 Mei hingga 1 Jun depan.

Sehubungan itu, pemain berusia 30 tahun dari Terengganu itu berterima kasih kepada barisan kejurulatihan skuad kebangsaan diketuai Arul Selvaraj kerana memberi peluang kepadanya menggalas tugas bersama skuad negara.

Pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu berkata, pemilihan itu adalah satu pengiktirafan kepadanya selepas mengumpul 61 cap bersama pasukan kebangsaan sebelum ini dan akan memanfaatkan sebaik mungkin peluang dalam misi membantu skuad negara layak automatik pada saingan Piala Dunia di India, tahun depan.



“Sejujurnya saya begitu bangga kerana masih diberi peluang dan tanggungjawab memikul tugas sebagai penjaga gawang pada edisi Piala Asia kali ini.

“Lebih menggembirakan, saya mungkin akan diberi peranan sebagai penjaga gol utama kerana sebelum ini hanya menjadi penjaga gol kedua di belakang S Kumar.

“Jadi saya berjanji akan memperagakan aksi terbaik bagi memastikan pasukan negara layak beraksi di pentas Piala Dunia pada tahun depan,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp kerana pasukan negara sudah berada di Indonesia.



Ketika ditanya mengenai kekuatan skuad negara bagi misi memburu tiket ke pentas Piala Dunia, Hafizuddin berkata, pukulan sudut penalti menjadi fokus utama skuadnya untuk memburu jaringan.

Kali terakhir dia dipilih mewakili negara adalah di Piala Asia di Bangladesh pada 2017 sebagai penjaga gol kedua.

Empat slot automatik ke pentas Piala Dunia 2023 bagi benua Asia diperuntukkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dengan satu slot sudah menjadi milik tuan rumah, India.

Dalam kempen kali ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Bangladesh, Korea Selatan dan Oman.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button