Harga Durian naik sehingga 30 peratus

Georgetown: Musim durian di Pulau Pinang kali ini menyaksikan pengurangan sebanyak 30 peratus berbanding tahun lalu sekali gus menyaksikan harga raja buah itu meningkat RM3 hingga RM9 bagi setiap sekilogram.

Ia diakui peniaga durian, Shamsul Abdul Aziz, 35, yang memiliki dusun seluas 1.6 hektar di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, di sini yang mendakwa antara sebab kekurangan buah durian adalah kerana faktor perubahan cuaca termasuk ribut dan hujan lebat sejak kebelakangan ini yang menyebabkan bunga durian gugur serta buah tidak menjadi.

“Disebabkan faktor itu, terdapat penjual yang terpaksa menaikkan sedikit harga susulan peningkatan lain-lain kos seperti bahan api untuk pengangkutan.

“Penggunaan baja yang kebanyakannya diimport menyebabkan ada peniaga terpaksa menaikkan sedikit harga selain faktor kemerosotan nila ringgit,” katanya ketika ditemui di gerainya di Tanjung Tokong di sini.



Namun menurut Shamsul, harga durian yang dijualnya selaras dan tidak dinaikkan seperti beberapa musim kebelakangan ini yang disifatkan ‘harga kayangan’.

“Sedangkan ada juga buah yang dijual pada harga serendah RM13 sekilogram mengikut jenis, jadi kita hendak hapuskan mentaliti itu supaya golongan B40 juga dapat merasai keenakan durian tempatan.

“Buah durian luruh dalam tempoh masa pendek serta dengan kuantiti yang banyak dan kita tidak mahu berlaku pembaziran akibat tiada pembeli,” katanya.

Shamsul berkata, biasanya musim durian membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan mengambil upah mengutip, membawa buah kepada penjual dan menjual.



“Sudah tiada sekatan (rentas negeri) seperti dua tahun lalu, jadi inilah masanya kita rancakkan semula penjualan durian sebagai tarikan pelancongan ke negeri ini,” katanya.

Bagi peniaga dan pemilik dusun, Hamzah Ahmad, 66, berkata, pada masa ini harga buah memang sedikit mahal berbanding dua minggu akan datang apabila durian jenis lain termasuk gred rendah mulai gugur.

“Faktor itu juga mungkin menyebabkan ada peniaga menaikkan harga kepada RM3 hingga RM9 bagi setiap sekilogram setakat ini.

“Di sini, setiap kilogram durian duri hitam dijual pada harga RM95, musang king RM70, Hor Lor RM55 manakala 604 dan kunyit pula RM36,” katanya yang ditemui di Jalan Air Putih, di sini.

Bagi pemilik dusun dan peniaga durian Rumah Batu, Balik Pulau, Tan Hock Hoe, 45, berkata, buah di dusunnya tidak dibawa keluar atau dijual di tempat lain dan pengunjung perlu datang ke dusunnya bagi menikmati durian.

“Bagi pelancong tempatan dan luar negara yang menaiki bas, mereka sanggup berjalan kaki sejauh satu kilometer bagi ke dusun saya dan diharap kita akan lihat semula senario itu pada musim kali ini,” katanya ketika ditemui.

#kw durian, kurang, harga, naik, cuaca, Pulau Pinang

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker