‘Kaki asap’ perlu peka harga sebenar



Kuala Lumpur: Sanggup abai hak pengguna sebab malas hendak pening kepala.

Itu yang boleh disimpulkan dengan sikap segelintir ‘kaki asap’ yang enggan melaporkan kepada pihak berkuasa walaupun menyedari rokok elektronik yang dibeli tiada tanda harga.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Asyikin Aminuddin berkata, jika hal itu dibiarkan, tidak hairanlah rokok elektronik vape dan pod boleh sesuka hati dinaikkan atau diturunkan harga.

Buletin TV9 difahamkan setakat ini Fomca tidak pernah menerima sebarang laporan berhubung isu berkenaan.



Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa perlu memainkan peranan dalam menangani isu itu memandangkan produk berkenaan mempunyai bilangan pengguna yang agak tinggi berdasarkan jumlah produk terjual di platform beli-belah dalam talian popular.

“Sekarang ini saya nampak, peniaga sendiri tidak tahu kewujudan peraturan undang-undang dan sebagainya.

“Mungkin mereka tidak tahu atau tidak cakna, mungkin juga tiada penguatkuasaan menyebabkan mereka berani tidak letak tanda harga,” katanya.

Pendapat sama turut dikongsi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan yang merasakan itu strategi perniagaan bagi menarik minat pelanggan.



“Mungkin ini strategi perniagaan, nak orang minat ambil tanya, mungkinlah.

“Tapi kita juga ada undang-undang pamer harga, untuk pengguna kita nak tengok harga, kalau dia tak ikut dia menyalahi undang-undang yang ada ketika ini,” katanya.

Nadzim turut menasihatkan pemilik perniagaan rokok elektronik supaya akur kepada undang-undang dengan melabelkan harga.

“Saya minta peniaga supaya akur kepada undang-undang, kena labellah.



“Kalau tak nanti, tak pasal-pasal orang ambil kesempatan termasuk penguatkuasaan pun boleh ambil kesempatan.

“Hakikat sebenarnya penguatkuasaan oleh agensi tertentu juga bukan perkara baharu mengambil kesempatan ke atas peniaga yang mungkin ada buat kesalahan,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker