Nilai ringgit kekal lemah, 4.40 berbanding dolar AS

Ringgit Weakening

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit melantun semula untuk dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada urus niaga pagi Jumaat, didorong minat belian baharu di tengah-tengah permintaan yang agak berkurangan untuk mata wang dolar AS berikutan hasil Perbendaharaan AS yang lebih lemah, kata seorang penganalisis.

Pada 9.02 pagi, nilai ringgit berada pada paras 4.3940/3980 berbanding dolar AS daripada penutup Khamis pada 4.4030/4060.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hasil bagi nota Perbendaharaan 10 tahun, yang jatuh empat mata asas kepada 2.84 peratus, sepatutnya menawarkan sedikit kelegaan kepada ringgit hari ini.

“Pelabur mencari perlindungan daripada turun naik pasaran,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) turut merosot 1.05 peratus kepada 102.724 mata, menjadikan ringgit lebih menarik untuk peserta pasaran.

Bagaimanapun, dalam nota lain, beliau berkata panduan pendapatan dalam kalangan firma Wall Street mencadangkan lebih banyak sebab untuk pelabur mengumpul dolar AS.

“Inflasi yang meningkat serta gangguan rantaian bekalan adalah isu biasa yang dikatakan akan menjadikan prospek keuntungan dalam jangka masa terdekat kelihatan mencabar,” tambahnya.

Namun begitu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.1831/1863 daripada penutup Khamis pada 3.1752/1778, lemah berbanding euro kepada 4.6480/6522 daripada 4.6223/6254, dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.4771/4821 daripada 5.4584/4621.

Bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.4385/4419 daripada 3.4495/4524.

Bernama

Leave a Reply