Penternak ayam Johor mampu penuhi 60 peratus bekalan

JOHOR BAHRU: Penternak di negeri ini hanya mampu mengeluarkan 600,000 ekor ayam sehari, berbanding permintaan harian yang menjangkau lebih 1.4 juta ekor.

Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor, Lau Ka Leng, berkata kekurangan hampir 40 peratus bekalan ayam itu juga dijangka akan berterusan sehingga bulan hadapan.

Katanya, sebanyak 26 peratus bekalan ayam dikeluarkan negeri ini juga turut dihantar kepada pembekal di negeri berhampiran.

Beliau berkata Johor berhadapan kekurangan hampir 40 peratus bekalan ayam berikutan hanya mampu mengeluarkan kira-kira 600,000 ekor ayam sehari atau kira-kira 60 peratus bekalan.

“Ia berbanding pengeluaran sebelum pandemik COVID-19 yang mampu menjangkau lebih 1.3 juta ekor sehari.

“Isu utama yang menjejaskan pengeluaran ayam adalah masalah pekerja yang amat kritikal berikutan kekurangan tenaga buruh asing selain dedak atau makanan ayam yang bukan sahaja semakin mahal serta tidak berkualiti, malah bekalannya semakin berkurangan.

“Jika sebelum ini seorang pekerja ditugaskan menjaga 10,000 ekor anak ayam, namun kerana kekurangan pekerja, seorang pekerja perlu menjaga lebih 30,000 anak ayam sekali gus menjejaskan bukan sahaja produktiviti malah jangka hayat ayam turut terjejas akibat faktor kekurangan pekerja selain dedak tidak berkualiti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini media melaporkan rungutan orang ramai terhadap harga ayam yang dijual antara RM9.50 hingga RM10.50 sekilogram, sekali gus melebihi harga kawalan sejak Aidilfitri kelima lalu.

Namun peniaga ayam dilaporkan berkata, bekalan ayam di negeri ini terus berkurangan di samping harga yang dihantar pembekal turut melonjak berikutan permintaan ayam melebihi penawaran.

Dalam pada itu, Ka Leng berkata, bekalan ayam di pasar raya besar dan beberapa premis pasar dan restoran makanan segera dijangka terjejas esok dan lusa berikutan beberapa pengeluar mengambil tindakan menutup kilang pengeluaran ayam pada 21 dan 22 Mei ini.

Katanya, ia berikutan kebanyakan pasar besar dan restoran makanan segera mendapatkan bekalan ayam segar daripada pengeluar besar berkenaan.

“Kami turut menerima makluman mengenai penutupan kilang pengeluaran ayam milik beberapa pengeluar ayam besar di negara ini.

“Namun pengeluar kecil akan terus membuka kilang pengeluaran ayam bagi membolehkan bekalan dihantar. Bagaimanapun kami juga tidak mampu mengeluarkan lebih banyak stok ayam segar kerana masih bergelut isu ketiadaan pekerja.

“Ia menyebabkan kami tidak dapat memenuhi permintaan yang sangat tinggi dibuat beberapa peniaga. Kami akan mengutamakan stok bekalan kepada peniaga dan pelanggan utama kami berbanding pihak lain walaupun menerima tempahan amat tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ka Leng memohon supaya kerajaan menyegerakan kemasukan pekerja asing bagi meredakan bebanan permintaan tinggi ayam segar di pasaran.

Katanya, pekerja sedia ada menghadapi tekanan tinggi kerana terpaksa melakukan tugas tiga kali ganda bagi memastikan stok bekalan ayam kepada pengguna di negeri ini tidak terjejas.

“Kami mohon kerajaan bantu dari segi kemasukan dan prosedur yang lebih mudah kerana tidak ramai rakyat tempatan berminat bekerja di ladang ayam.

“Kami juga berharap kerajaan dapat melihat kepada harga dedak yang melonjak begitu tinggi namun kualitinya rendah. Ini juga mengganggu pembesaran serta jangka hayat ayam sekali gus membebankan penternak ayam,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker