Polis buru pemandu treler terbabit kemalangan langgar lari

Machang: Polis sedang memburu treler serta pemandunya yang terbabit dalam kemalangan langgar lari sehingga menyebabkan seorang lelaki maut di Kilometer 3, Jalan Machang-Pasir Puteh, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, dalam kejadian pada 8.45 malam, mangsa Ahmad Zarriq Ahmad Zulkhairee, 24, dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak di Machang selepas memancing di Pasir Puteh disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami pada bahagian badan serta kepala sehingga hancur.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, treler berkenaan datang dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh.



“Setibanya di lokasi kejadian, treler berkenaan yang pada ketika itu berada di laluannya melanggar mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave di laluan bertentangan sehingga menyebabkan mangsa digilis dan diseret serta disahkan maut di lokasi kejadian.

“Punca kejadian dipercayai disebabkan kecuaian pemandu treler yang hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan dan melanggar mangsa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shuhaimi berkata, susulan daripada itu, pihaknya sudah membuat hebahan kepada Gerakan Machang bagi membantu mengesan treler terbabit.



“Ketika kejadian, jenis serta warna kepala treler tidak dapat diketahui disebabkan cuaca hujan selain kawasan yang gelap serta tidak ada muatan di atas treler.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai treler yang terbabit dalam kes langgar lari ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang Inspektor Nur Nazifah Bakhori di talian 019-9634528 atau mana-mana balai polis terdekat,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button