PSG makin terdesak pujuk Mbappe

PARIS: Paris Saint-Germain dilaporkan terdesak mahu mengekalkan Kylian Mbappe di Parc des Princes dengan menawarkannya jawatan penting dalam kelab itu.

Kontrak pemain 23 tahun Perancis itu tamat akhir musim ini dan semakin hampir untuk menyertai Real Madrid secara percuma.

Namun enam minggu sebelum pemain itu menjadi ejen bebas, gergasi Ligue 1 berkenaan menawarkan posisi yang membolehkan Mbappe membuat keputusan berkenaan perpindahan keluar masuk pemain serta jurulatih.



Selain tawaran gaji yang akan menjadikannya pemain termahal dalam sejarah bola sepak dengan bayaran 4 juta pound (RM21.5 juta) sebulan – dua kali ganda gajinya sebelum ini – Mbappe juga akan menerima gaji sebagai pengarah projek baharu kelab itu musim depan.

Dia juga bakal menerima bonus 100 juta pound (RM539 juta) sekiranya dia menandatangani kontrak baharu bersama PSG.

Presiden PSG Nasser Al-Khelaifi berkata, keputusan memberikan kuasa kepada Mbappe untuk mengawal operasi sukan kelab itu akan membolehkannya menentukan masa depan pengendali Mauricio Pochettino serta rakan sepasukan.

“Saya tidak boleh bercakap tentang masa depan saya tetapi anda akan mengetahuinya dalam masa terdekat. Belum masanya untuk saya dedahkan tetapi keputusan saya hampir selesai,” kata Mbappe.



Mbappe membantu PSG merampas semula gelaran liga, meledak 25 gol dan 17 umpanan gol untuk mendahului senarai dua kategori itu. Sepanjang musim ini dia meledak 36 gol dan 26 umpanan gol.

Dia turut dinobatkan sebagai pemain terbaik Ligue 1 untuk tiga musim berturut-turut.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button