Scha Elinnea laku keras

HAMPIR empat tahun aktif berlakon, kanvas karier seni dilakar bakat baharu dikenali Scha Elinnea, 22, sudah makin meluas dengan 17 drama, dua telefilem dan dua filem sudah dibintanginya.

Selain itu, pemilik nama sebenar Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen ini juga beraksi dalam web drama berjudul Ghaib pada 2018, termasuk dipilih sebagai model muzik video lagu Peneman nyanyian Hazama pada 2019.

Scha juga pada tahun ini mendapat peluang menyertai program Master In The House Malaysia (MITH) di TV3 bersama empat lagi selebriti popular iaitu Hael Husaini, Sharifah Rose, Andi Bernadee dan Meyrasam (kumpulan Cassia).

Ternyata, ‘permintaan tawaran’ buat Scha kini semakin tinggi terutama kemunculannya dalam drama serta program TV yang diterbitkan TV3.



Justeru, apakah Scha juga berada dalam kelompok ‘anak emas’ sama seperti pelakon Sharifah Rose?

Scha ketika ditemui di sidang media virtual drama Kerana Aku Isteri Bidaan lakonannya yang mengisi slot Samarinda TV3 berkata, dia masih lagi baharu dalam bidang lakonan dan banyak watak perlu diterokai lagi.

“Kalau pasal ‘anak emas’ stesen TV, saya tidak rasa seperti itu. Saya masih pelakon yang biasa-biasa saja dan tidak sampai lagi ke tahap yang berkenan. Jadi, kebanyakan tawaran kerja yang saya dapat sekarang kerana rezeki.

“Memang saya tidak terfikir langsung dakwaan ‘anak emas’ itu. Sebagai bakat baharu yang menempa nama dalam industri hiburan, saya tahu perlu menimba lebih banyak pengalaman berlakon lagi.



“Saya pun belum di tahap selesa dan ingin terus mencuba pelbagai watak bagi memantapkan bakat lakonan. Apapun, saya amat bersyukur kini bakat diketengahkan semakin diterima baik. Terima kasih atas sokongan diberikan,” katanya.

Menurut Scha, kini setiap watak dalam drama yang diterima cuba dilakonkannya sebaik mungkin.

Contohnya watak Raina Badrina dalam drama Kerana Aku Isteri Bidaan yang memerlukan dia menjadi pelayan khidmat pelanggan (GRO) di kelab malam.

“Sebenarnya watak Raina Badrina ini sangat berat untuk saya. Namun, peluang tidak datang selalu dan saya kena mencuba. Syukur alhamdulillah, saya mendapat pengarah dan rakan pelakon yang banyak membantu.

“Saya berganding dengan pelakon Hisyam Hamid sebagai Farel Zafeeq yang menjadi suami saya dalam drama ini dan kami banyak berbincang. Apapun, cabaran bermain pelbagai emosi itu agak memenatkan. Tapi, saya sudah cuba beri yang terbaik,” katanya.

Selain Scha dan Hisyam, drama arahan bersama Ayie Mustafa dan Rahim Zali ini sudah menemui penonton TV3, jam 10 malam, sejak 16 Mei lalu turut membariskan pelakon seperti Wanns Ahmad, Ellyas Abdullah, Syafnida Shuhaimi, Nina Nadira, Jasper Supayah dan Silfeny Osman.

Berbicara juga mengenai kesihatan mentalnya yang sebelum ini dilaporkan mengalami gangguan kronik, Scha berkata, sekarang semua berada dalam keadaan terkawal kerana masih meneruskan ubat-ubatan daripada doktor.

“Yang pasti, sekarang saya tidak perlu berjumpa dengan pakar psikiatri setiap minggu lagi. Malah, sakit juga datang sesekali saja di tahap sederhana. Alhamdulillah, ia tidak mengganggu saya sepanjang bekerja di lokasi.

“Aktiviti penggambaran membabitkan saya berjalan lancar dan amat melegakan. Cuma, ada juga kadang-kala saya ‘down’ dan ia tidak boleh dielak. Tapi, keadaannya tidak teruk sehingga boleh menjejaskan kerja,” katanya.

Scha yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, dia juga gembira dan selesa apabila segala urusan kerjanya diuruskan Absolute Talents & Management.

Katanya, menerusi syarikat pengurusan dia tidak perlu berasa bimbang berkaitan tawaran kerja.

Mengulas mengenai penampilan diri yang seksi di media sosial, Scha yang aktif dalam peragaan berkata, dia sudah lali berhadapan kritikan dan kecaman netizen.

Katanya, mulut orang tidak boleh ditutup dan terserah mereka nak cakap apa.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker