Sempat Rai Sambutan Hari Raya Aidilfitri Di Sekolah
Sempat menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah, seorang pelajar, 10, dilaporkan maut digilis sebuah lori selepas motosikal yang diboncengnya terbabit dengan sebuah kemalangan di Jalan Kampung Baru, Alma, Pulau Pinang semalam.
Memetik laporan Astro Awani, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian berikutan mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan kejadian tersebut terjadi kira-kira 1.45 tengah hari.
Ujar Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, insiden tersebut dipercayai berlaku apabila ibu kepada mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan raya.
Wanita itu sempat menyelamatkan diri, namun anaknya yang membonceng digilis lori yang datang dari arah sama dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam bagi urusan bedah siasat, manakala penunggang cedera ringan dan dirawat di hospital sama.
Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bagaimanapun, di media sosial timbul dakwaan yang mengatakan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolahnya di Bukit Mertajam dan dia dikatakan ceria dan sentiasa tersenyum sepanjang majlis itu berlangsung.
Penang Kini