Showtime 1958 ‘Belum tayang sudah kumpul 12 trofi’

KUALA LUMPUR: Belum ditayangkan di pawagam tempatan, filem arahan Anwardi Jamil, Showtime 1958 memikat juri antarabangsa hingga meraih 12 anugerah di lapan festival filem antarabangsa.

Mengangkat kisah benar di sebalik lagu ikonik, Selamat Hari Raya ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Jamil Sulong di Studio Jalan Ampas pada 1958 serta kejatuhan empayar filem Melayu di Singapura, naskhah garapan Anwardi

Mengulas kejayaan filem itu, Anwardi berkata, untuk meraih perhatian dan penghargaan festival filem antarabangsa, filem tempatan perlu mengetengahkan budaya dan sejarah Melayu, bukannya bercirikan Hollywood.

“Daripada 20 penyertaan, kami berjaya membawa pulang 12 anugerah dari lapan festival filem. Alhamdulillah, itu semua rezeki, walaupun dalam negara sendiri, kami tidak berjaya menang apa-apa anugerah.



“Disebabkan itu, saya fikir, kalau kita buat naskhah apa sekalipun, terapkanlah budaya Melayu. Contohnya, keunikan tarian kita.

“Budaya membaca buku sudah berkurangan, jadi kandungan visual begini dapat menceritakan sejarah dan budaya Melayu kepada orang ramai,” katanya pada majlis penghargaan tenaga produksi dan barisan pelakon Showtime 1958 di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, Hulu Kelang, baru-baru ini.

Antara kejayaan besar diraih filem Showtime 1958 adalah apabila Anwardi diumumkan Pengarah Asia Terbaik pada Asian Cinematography Awards 2021 di Manila, Filipina.

Pada acara itu, Showtime 1958 Amai Kamarudin, Bell Ngasri, Shah Iskandar dan Mubarak Majid membawa pulang anugerah kategori Sinematografi Terbaik untuk Filem Cereka.



Melalui pengamatannya, Anwardi berkata, pembikin filem tempatan tidak minat sejarah.

“Mereka lebih minat dengan filem komersial seperti filem Hollywood. Mereka perlu lebih banyak menonton filem, contohnya, yang diterbitkan industri perfileman di Iran, India, Indonesia dan sebagainya.

“Contohnya, filem seram Indonesia, mereka terapkan budaya daripada pelbagai segi. Tetapi, kita tidak sebegitu. Jati diri kita terhadap budaya kita, kurang,” katanya.

Anwardi berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menyokong dan menganggap naskhah seperti Showtime 1958 perlu diterbitkan.

Namun, di sebalik kejayaan diraih, tidak ramai tahu cabaran syarikat produksi menayangkan Showtime 1958 di pawagam tempatan.

Anwardi bersyukur selepas dua tahun tayangannya tertangguh, Showtime 1958 boleh ditonton di platform penstriman antarabangsa, Netflix, sejak 3 Mei lalu.

“Untuk ditayangkan ke pawagam, kami kena ambil risiko, tambah duit dan sebagainya. Tetapi di Netflix, filem ini dapat ditonton di seluruh dunia.

“Jadi, kami fikir berbaloi apabila filem ini ditayangkan di Netflix,” katanya.

Namun, akui Anwardi, rasa terkilan masih bersarang memikirkan Showtime 1958 tidak ditayangkan di pawagam.

“Menonton di pawagam berbeza rasanya, apatah lagi di luar negara Showtime 1958 ditayangkan di layar lebar. Antaranya di Perancis, Cardiff, Manila dan Singapura.

“Disebabkan itu, saya berharap kami dapat menganjurkan tayangan istimewa. Saya mahu penonton menyaksikan tayangan versi penuh selama tiga jam.

“Melalui siaran Netflix, saya memilih menayangkan versi yang lebih pendek iaitu dua jam,” katanya.

Anwardi yang juga bertindak sebagai penulis filem berkenaan memberitahu, Showtime 1958 ditulis berdasarkan penceritaan dan tulisan ayahnya, Allahyarham Jamil Sulong.

“Saya menceritakan bagaimana penulisan lagu Selamat Hari Raya dibuat ayah saya dan P Ramlee. Sebenarnya, lagu itu ditulis dalam masa 10 minit sahaja. Tetapi, saya panjangkan dalam filem ini.

“Untuk makluman, lagu itu tidak pernah dirakam oleh P Ramlee, tapi dirakam oleh Ahmad Jais pada 1965,” katanya.

Anwardi turut merancang membikin lebih banyak naskhah menggunakan Jalan Ampas sebagai latar belakang.

“Boleh dikatakan ada puluhan skrip, diari dan lirik tulisan arwah bapa saya simpan. Arwah rajin menulis diari dalam bahasa Jawi.

“Saya selalu minta ayah bercerita, contohnya, mengenai Jalan Ampas sebelum merdeka,” katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai perkembangan kesihatan ibunya yang juga pelakon dan pengarah legenda, Datuk Rosnani Jamil, Anwardi berkata, ibunya dalam keadaan baik dan sihat.

“Alhamdulillah, ibu sihat dan baik-baik saja. Sekarang ibu berada di Singapura, melawat ibu saudara saya yang uzur di sana.

“Dia banyak berjalan dan meluangkan masa dengan kawan-kawan selain berkebun di rumahnya di Janda Baik, Pahang,” katanya.

Bertanya sama ada seniwati berusia 86 tahun itu masih berkeinginan kembali berlakon atau mengarah, Anwardi berkata keluarganya tidak mengizinkannya berbuat demikian.

“Kami mahu ibu berseronok dengan kehidupannya. Ibu baharu pulang menunaikan umrah, jadi kami biarkan dia bebas berjalan ke mana yang dia mahu.

“Saya akui ibu mahu kembali mengarah, tetapi ibu tidak mempunyai tenaga,” katanya.

Antara filem yang pernah mendapat sentuhan pengarah yang mesra dengan panggilan Mak Nani itu adalah Mawar Merah, Antara Dua Hati, Memori, Bicara hati dan yang terakhir, Mawar Putih yang diterbitkan pada 2016.

Mak Nani adalah antara aktres era 1950-an yang menerima bayaran lumayan selepas primadona, Allahyarham Kasma Booty.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker