Harimau Muda, Indonesia bertarung rebut gangsa esok

HANOI: Ia bukan sekadar pertemuan pingat gangsa malah lebih terarah kepada pertemuan seteru tradisi antara dua negara, Malaysia dan Indonesia tatkala kedua-dua pasukan tekad pulang dari Sukan SEA 2021 dengan lebih bermaruah selepas tersingkir di separuh akhir.

Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara Brad Maloney mengakui anak buahnya bakal berdepan satu lagi aksi yang mencabar dari segi pertarungan fizikal selepas tumpas dengan tuan rumah dalam perlawanan selama 120 minit.

“Pemain sudah melalui proses pemulihan dengan baik walaupun kita berdepan aksi sukar berdepan Vietnam yang memerlukan kekuatan fizikal. Kami sudah memberi fokus kepada pemulihan mereka dan semuanya kembali kepada tahap kecergasan terbaik.

“Esok kami akan lebih bersedia dan tidak sabar untuk melaluinya selepas ini. Ia adalah aksi yang sangat memberi makna buat kedua-dua pasukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) sebentar tadi.

Jurulatih kelahiran Australia itu mengakui perlawanan Malaysia dan Indonesia sentiasa difokuskan kepada seteru tradisi, namun anak buahnya sudah bersedia serta berada dalam motivasi yang sangat baik bagi aksi perebutan gangsa.

“Tidak ada bezanya antara aksi esok dan menentang Vietnam sebelum ini. Ketika separuh akhir saya tidak pernah melihat anak buah saya sangat mempunyai motivasi sangat tinggi. Mereka sudah bersedia untuk turun bermain esok.

“Ia juga sukar untuk katakan aksi perebutan gangsa lebih mendapat perhatian daripada saingan akhir Sukan SEA. Aksi final membabitkan pasukan tuan rumah, namun saya yakin ribuan penyokong (Malaysia dan Indonesia) akan berada di belakang kedua-dua pasukan nanti,” kata Maloney.

Ditanya mengenai tahap kecergasan dan kecederaan pemain, Maloney berkata selepas aksi 120 minit memang ada pemain yang mengalami lebam dan kekejangan namun setakat ini semua anak buahnya boleh turun beraksi.

“Mungkin ada seorang atau dua pemain masih perlu dipantau. Mengenai pasukan Indonesia pula mereka beraksi sangat baik di kejohanan ini, walaupun tanpa Egy Maulana yang mengalami kecederaan,” katanya.

Indonesia bukan saja pincang selepas ketiadaan Egy malah turut terasa tanpa tiga pemain yang digantung akibat layangan kad merah ketika tumpas kepada Thailand di separuh akhir iaitu Firza Andika, Rachmat Irianto, Ricky Kambuaya

Kali terakhir Malaysia menumbangkan pasukan Indonesia di temasya Sukan SEA adalah pada 2017 di Kuala Lumpur saingan peringkat separuh akhir dengan mencatat kemenangan 1-0.

BHOnline

Leave a Reply