Penjual emas ditahan selepas perdaya wanita RM560,000

Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan berhubung penipuan jual beli emas 916 secara bersemuka di Jalan Conlay di ibu negara, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, lelaki terbabit ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral di sini kira-kira jam 3.10 pagi tadi.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita yang mendakwa diperdaya lelaki tempatan itu sehingga mangsa menyerahkan RM560,000 untuk membeli emas.

Bagaimanapun, katanya, suspek melarikan wang berkenaan tanpa memberikan emas kepada mangsa.



Noor Dellhan berkata, susulan laporan itu, pihaknya mengesan suspek sebelum menangkapnya.

“Kita (polis) turut merampas kereta, wang tunai RM250,750, tiga telefon bimbit, sepasang kasut, sehelai baju dan seluar, cop syarikat, beg, buku cek, pasport, anak kunci serta kad akses rumah.

“Suspek direman selama empat hari sehingga 24 Mei 2022 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ditanya berapa laporan polis diterima berkaitan penipuan dilakukan suspek, Noor Dellhan berkata, setakat ini hanya satu laporan dibuat wanita terbabit.



Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam urusan perniagaan dan menyemak latar belakang individu atau syarikat terlebih dulu.

Sebarang maklumat mengenai kegiatan berkaitan boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker