Bekas DSP buru Botak Chin meninggal dunia

Kuala Lumpur : Bekas pegawai kanan polis, Deputi Superintendan (DSP) Kenny James Woodworth, 89, yang terbabit dalam memburu penjenayah kejam, Botak Chin meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, semalam.

Kenny antara 12 pegawai polis Cawangan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur yang dipilih khas untuk menganggotai sebuah kumpulan yang dinamakan ‘Magnificient 12.’

Kumpulan berkenaan ditubuhkan bagi memburu penjenayah terkenal suatu ketika dulu, Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara Daruk Razarudin Husain serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

“Jasad mendiang akan dibawa ke Gereja Holy Rosary, Kuala Lumpur pada hari ini dan esok bermula 9 pagi sehingga 9.30 malam untuk penghormatan terakhir.

“Sesungguhnya jasa dan bakti yang dicurahkan beliau akan sentiasa dikenang sepanjang zaman dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat pasukan serta negara,” kata kenyataan yang dimuat naik di laman facebook PDRM.

METRO

Leave a Reply