Bursa Malaysia pulih, dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia pulih kembali daripada kerugian yang dicatatkan minggu lalu dan dibuka tinggi pagi ini, disokong oleh belian diperbaharui bagi saham-saham berwajaran tinggi terpilih seiring dengan sentimen positif pasaran serantau yang lain, kata peniaga.

Pada jam 9.32 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.27 mata atau 0.34 peratus kepada 1,554.39 berbanding 1,549.12 pada penutupan Jumaat.

Indeks utama itu dibuka 4.03 mata lebih tinggi kepada 1,5523.15.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 263 berbalas 245 manakala 864 kaunter tidak berubah, 925 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.06 bilion unit bernilai RM311.63 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya hari ini, pelabur mungkin memantau kadar inflasi Malaysia serta minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu ini.

“Kami turut menjangkakan beberapa aktiviti memburu saham berharga murah akan muncul di pasaran tempatan, terutamanya bagi saham teknologi,” katanya.

Minggu lalu, firma penyelidikan itu berkata, FBM KLCI memperlihatkan prestasi rendah berbanding bursa serantau yang lain, sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan jualan jam akhir pada saham wajaran tinggi berkaitan perbankan dan komoditi terpilih.

“Kami kekal positif pada sektor bertemakan pemulihan walaupun terdapat kebimbangan terhadap inflasi.

“Selain itu, sektor tenaga seharusnya kekal teguh, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah. Saham teknologi pula berpotensi untuk mencatatkan lantunan semula di tengah-tengah kegiatan memburu saham murah di Wall Street,” tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing menokok 3.0 sen kepada RM8.99 dan RM6.56, Public Bank naik 2.0 sen kepada RM4.54 manakala Petronas Chemicals susut 2.0 sen menjadi RM9.97 dan TNB lemah 1.0 sen kepada RM9.23

Bagi saham aktif, Sapura Energy naik 2.0 sen kepada 9.0 sen, MQ Tech meningkat setengah sen menjadi 6.0 sen, Serba Dinamik turun 1.5 sen kepada 12 sen, manakala KNM susut setengah sen kepada 19.5 sen.

Di papan indeks, FBM ACE menokok 2.35 mata kepada 5,345.44, Indeks FBM Emas Syariah mengembang 45.66 mata menjadi 11,574.93, Indeks FBM Emas lebih tinggi sebanyak 39.65 mata kepada 11,111.02, Indeks FBMT 100 meningkat 39.99 mata kepada 10,775.06 manakala FBM 70 mengukuh 65.31 mata menjadi 13,240.53.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian adalah 0.78 mata lebih tinggi pada 200.15, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 54.15 mata kepada 16,615.85, manakala Indeks Perladangan susut 9.95 mata menjadi 8,247.85.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker