Rashford bantu pasukan ke kelompok empat terbaik liga

MANCHESTER: Marcus Rashford menjaringkan gol tunggal perlawanan bagi membantu Manchester United menewaskan Brentford 1-0 sekali gus membantu Red Devils kembali berada dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Kemenangan di laman sendiri Old Trafford itu satu tindak balas pantas pasukan selepas dikecewakan Newcastle United 2-0 Ahad lalu.

Manchester United kini mengumpul 53 mata, tiga mata di depan Tottenham Hotspur yang berada di kedudukan kelima dan berkongsi mata dengan Magpies yang berada di kedudukan ketiga liga.



United bermula dengan baik, melakukan beberapa serangan dan sepakan percuma sebelum Rashford bijak menggunakan peluang dimilikinya untuk meledak jaringan pada minit ke-27 yang juga ke-28 baginya musim ini.

David De Gea nyaris memberikan Brenford jaringan penyamaan pada awal babak kedua menerusi tampanannya yang longgar ke arah Ivan Toney namun tuah menyebelahi penjaga gol United itu apabila bola melantun ke tempat selamat.

De Gea sekali lagi diasak pada minit ke-67 apabila pemain simpanan, Kevin Schade menerima hantaran Toney sebelum meluru ke arahnya namun penjaga gol itu berjaya menepis percubaan itu dengan baik.

United mungkin boleh memuktamadkan perlawanan dengan tambahan satu lagi gol pada minit ke-80 apabila Rashford berjaya menembusi bahagian kiri padang sebelum melakukan hantaran kepada Fred, namun ledakan pemain dari Brazil itu tersasar daripada gawang gol.



Dalam usaha United memburu penamat dalam kelompok empat terbaik untuk membolehkan mereka mara ke Liga Juara-Juara musim depan, Rashford berkata, konsistensi adalah kunci utama buat mereka apatah lagi saingan liga kini sudah memasuki fasa penghujung.

“Kami berada dalam tempoh berkenaan yang setiap perlawanan adalah penting dan setiap perlawanan dikira, jadi kami sangat gembira dengan kemenangan ini,” kata Rashford.

“Perkara paling penting adalah untuk menang perlawanan seterusnya – apa yang jelas semua orang tahu yang kami tidak dapat bermain yang terbaik pada setiap minggu, tetapi tidak ada ruang untuk jatuhkan standard kami dan kami perlu sentiasa mengingatkan antara satu sama lain pada setiap minggu,” katanya.

Reuters




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading