Dr Dzulkefly berhasrat undur diri, beri laluan calon muda

KUALA SELANGOR: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhasrat mengundur diri dan memberi laluan kepada calon muka baharu atau muda untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dr Dzulkefly menyifatkan hasrat berkenaan sebagai perhitungan peribadi selepas beliau menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal.

“Calon muda perlu diberi peluang dan ruang untuk menjadi pemimpin yang disifatkan lebih ‘segar’.

“Jika diizinkan, saya secara jujurnya mahu berundur dan cenderung memberi laluan kepada muka baharu pada PRU akan datang.

“Bagaimanapun, segala keputusan akhirnya bergantung pada pucuk pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) kelak,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Strategi AMANAH berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri di Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Kuantan, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly juga berharap sekiranya beliau mengundur diri, calon blok sama yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor nanti adalah daripada AMANAH.

“Sekiranya seseorang itu berundur, maka calon juga perlu daripada parti berkenaan sendiri.

“Calon juga harus bersedia sepenuhnya untuk menyandang kerusi yang ditandingi,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply