Empat pelajar mengaku salah pukul junior

SEREMBAN: Empat pelajar sekolah menengah di daerah ini, mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar Tingkatan Satu pada 13 Mei lalu ketika mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tiga daripada tertuduh juvana berusia 15 tahun dan seorang berusia 16 tahun itu membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Norzaliza Tesmin.

Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar berusia 13 tahun dengan cara memukul mangsa.

Kesalahan dilakukan kira-kira jam 12 tengah malam 13 Mei lalu di sebuah bilik di asrama sebuah sekolah di daerah ini.

Oleh yang demikian, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, hendaklah dihukum dengan penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Majistret kemudiannya menetapkan 22 Jun depan untuk pendengaran laporan akhlak, sebelum hukuman dijatuhkan.

Terdahulu, keempat-empat pelajar berkenaan tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban, kira-kira jam 9 pagi hari ini bersama ibu bapa masing-masing selain ibu bapa kepada mangsa turut hadir.

Sebutan kes diadakan secara tertutup yang mana majistret meminta mahkamah dikosong dan hanya ibu bapa kepada tertuduh juvana dibenarkan berada di dalam kamar.

BHOnline

Leave a Reply