Harga minyak sawit dijangka semakin tidak menentu

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka menjadi lebih tidak menentu dengan pelbagai perubahan yang dilakukan kerajaan Indonesia terhadap dasar minyak sawit negara itu, demikian menurut penganalisis.

Selepas sehari mengumumkan penarikan balik larangan eksport produk minyak sawit bermula hari ini, kerajaan Indonesia pada Jumaat lalu mengumumkan pelaksanaan semula dasar obligasi pasaran domestik.

Pelaksanaan semula dasar itu memerlukan pengeluar menjual sebahagian daripada keluaran minyak masak kepada pasaran tempatan negara itu bagi memastikan 10 juta tan minyak masak kekal dalam pasaran sambil mengekalkan harga minyak masak domestik di bawah kawalan.

PublicInvest Research dalam nota penyelidikannya berkata, dasar terbaharu itu akan mengurangkan bekalan minyak sawit Indonesia dalam pasaran global, namun keputusan itu adalah lebih baik berbanding menyekat keseluruhan eksport.

Bagaimanapun, ia berkata, pelbagai perubahan kepada dasar minyak sawit dijangka menyebabkan lebih banyak turun naik tidak menentu terhadap harga MSM.

“Kami mengekalkan neutral pada sektor perladangan dengan unjuran penuh harga MSM pada RM5,000 satu tan,” katanya.

Selain bersedia mengenakan kuota obligasi pasaran domestik (DMO) pada 10 juta tan termasuk dua juta tan dalam rizab, kerajaan Indonesia juga merancang untuk menggunakan mekanisme kawalan harga minyak masak domestik.

Kementerian perdagangan negara itu akan menentukan saiz DMO yang perlu dipenuhi oleh setiap pengeluar dan mekanisme untuk mengeluarkan dan mengagihkan minyak masak.

PublicInvest Research berpandangan, pihak berkuasa Indonesia harus mempunyai mekanisme yang ketat dan adil bagi memastikan semua pengeksport minyak sawit menyumbang kepada bekalan tempatan

Ia berkata, larangan eksport minyak sawit baru-baru ini meningkatkan stok minyak masak bulanan kepada 109 peratus daripada permintaan bulanan berbanding 33 peratus pada Mac dan menurunkan harga purata minyak masak pukal daripada 19,800 rupiah kepada 17,000 rupiah seliter.

“Menjelang musim pengeluaran yang tinggi, kami berpendapat dasar terbaharu itu mungkin juga bersifat sementara memandangkan stok minyak masak domestik boleh berkembang dalam jangka masa terdekat,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker