Heung-min, Salah kongsi Kasut Emas
LONDON: Mohamed Salah dan Son Heung-min berkongsi anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris selepas kedua-dua penyerang itu menjaringkan gol pada hari terakhir musim ini.
Pemain Korea Selatan Heung-min meledak dua kali dalam kemenangan 5-0 Tottenham di Norwich untuk mengumpul 23 gol liga musim ini – satu mengatasi Salah, tetapi pemain Mesir itu meledak gol di akhir permainan dalam kemenangan 3-1 Liverpool ke atas Wolves.
Bintang Manchester United Cristiano Ronaldo di tempat ketiga dengan 18 gol.
Jaringan Salah membantu skuad kendalian Jurgen Klopp menamatkan saingan satu mata di belakang Manchester City, yang bangkit menjaringkan tiga gol dalam tempoh lima minit untuk menewaskan Aston Villa 3-2.
Kemenangan Tottenham mengesahkan penamat di tangga keempat, sekali gus layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
“Sukar untuk saya mempercayainya. Saya amat terharu. Saya mengimpikannya ketika kanak-kanak. Sekarang ini ia di tangan saya.
“Sehingga jaringan saya, saya amat kecewa kerana terlepas peluang keemasan. Saya memberitahu pemain-pemain yang saya terlepas peluang mudah dan menjaringkan gol yang sukar.
“Saya tidak mahu berputus asa. Saya mahu menjaringkan gol hari ini. Pasukan banyak membantu, anda dapat melihatnya hari ini,” kata Heung-min, 29.
Pengendali Spurs Antonio Conte gembira melihat misi kelab dan individu berjaya disempurnakan dengan kemenangan ke atas The Canaries di Carrow Road.
“Ini adalah sasaran kami. Pertama untuk mara ke Liga Juara-Juara tetapi apabila ada peluang untuk membantu Sonny menjadi penjaring terbanyak, kami menikmatinya.
“Saya lihat rakan sepasukan cuba menolongnya. Anugerah itu untuk Son dan rakan sepasukan. Mereka membantunya meraih pencapaian ini,” kata Conte.
AFP