Lelaki Myanmar cuba culik kanak-kanak empat tahun

KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar selepas dipercayai cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang sedang bermain di hadapan rumahnya di Batu Tiga, Jalan Gambang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam jam 9.45 pagi sebelum sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dari Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan orang awam dan bapa mangsa di tepi jalan berdekatan Pusat Dagangan Batu Tiga, sebelum diserahkan kepada polis.

“Suspek dibawa ke IPD Kuantan dan proses reman akan dilakukan oleh pegawai penyiasat kes hari ini

“Turut dirampas bersama suspek ialah sehelai kain lampin berwarna putih dipercayai digunakan untuk menutup kepala mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Zahari berkata, bapa mangsa, penjual ketam nipah membuat laporan polis berkaitan kejadian itu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku ketika mangsa bermain pasir di hadapan rumah manakala ibunya sedang menyiram pokok bunga di halaman.

“Bapa mangsa mendengar bunyi jeritan isterinya yang mengatakan anak bongsu mereka dilarikan seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Susulan itu, bapa mangsa bertindak segera dengan mengejar suspek yang cuba melarikan diri.

“Dengan bantuan orang ramai, suspek ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis untuk tangkapan semula,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan dan cubaan melakukan jenayah.

Selain itu, suspek juga disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

METRO

Leave a Reply