Tiada isu kerosakan lif

Kuala Lumpur: Tidak timbul isu kerosakan lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Batu ketika anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) terpaksa menurunkan jenazah seorang wanita dari tingkat sembilan, Sabtu lalu.

Sebaliknya, saiz pengusung yang panjang menyebabkan lif tidak dapat digunakan, dan anggota bertugas perlu menggunakan laluan tangga untuk sampai ke bawah.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, beliau dihubungi pelbagai pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai isu terbabit.

Selain itu, persatuan penduduk juga tampil memberikan maklum balas selepas kisah berkenaan disiarkan Metro Ahad sebelum ini.



“Saya tidak tahu dari mana datangnya maklumat mengenai lif di situ mengalami kerosakan teknikal kerana ia berfungsi dengan baik.

“Malah, anggota APM juga naik ke tingkat sembilan menggunakan lif. Jadi, isu ini menyebabkan timbul persepsi yang tidak baik kepada agensi berwajib dan persatuan penduduk,” katanya kepada Harian Metro.

Metro Ahad sebelum ini melaporkan anggota APM bermandi peluh untuk membawa turun jenazah wanita seberat 120 kilogram dari pangsapuri berkenaan.

Urusan itu selesai selepas anggota secara bergilir-gilir mengusung jenazah yang dibawa ke Masjid Al-Firdaus untuk urusan selanjutnya.



Gulam Muszaffar berkata, maklumat tidak tepat itu menimbulkan kemarahan dan kebimbangan penduduk yang menggunakan kemudahan itu setiap hari.

“Persatuan penduduk dan APM juga sudah menafikan perkara itu. Saya berharap selepas ini semua pihak lebih berhati-hati agar sebarang perkongsian atau berita yang disiarkan tidak menimbulkan fitnah kepada orang lain,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker