‘Ulat jenazah’ Kenakan caj hingga RM4,500!

Kuala Lumpur: Kegiatan ‘ulat jenazah’ menguruskan kematian mencetuskan kontroversi apabila mereka mengenakan caj yang mahal hingga membebankan waris.

Tanpa memikirkan kesedihan yang ditanggung, keluarga si mati ditekan pula dengan caj yang tinggi bagi menguruskan jenazah atas tiket kononnya ‘amal jariah.’

Dari pakej mandikan jenazah, kafan sehingga pakej penuh ke liang lahat, caj yang dikenakan boleh mencecah RM4,500.

Mereka sering berkeliaran di pekarangan bilik mayat sebelum mendekati waris yang ketika itu bingung dan dilanda kesedihan seolah-olah dapat menghidu peluang mempengaruhi mangsa untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.



Malah, kegiatan ini bukan berlaku di hospital, tetapi dipercayai turut dijadikan perniagaan membabitkan kariah masjid atau surau di lokaliti.

Mendedahkan kepada Buletin TV9, waris mendakwa kesempatan itu diambil individu yang berselindung di sebalik perwatakan baik dan alim.

Seorang mangsa, Baizura Tahari, 33, mendedahkan kisah hitam dia dan keluarga yang ditipu ‘ulat jenazah’ sebanyak dua kali membabitkan kematian nenek dan bapanya.

Menurutnya, dia tidak sedar dirinya diperalatkan kerana beranggapan individu terbabit sememangnya berniat membantunya.



“Ketika di Jabatan Forensik, saya dihampiri seorang lelaki yang menawarkan khidmat pengurusan jenazah bersama senarai caj akan dikenakan mengikut pakej yang ditawarkan.

“Walaupun jarak antara hospital dan rumah hanya kurang 10 kilometer namun caj dikenakan memang melampau dan menekan waris,” katanya.

Baizura mengakui wujud beberapa perkhidmatan yang ditawarkan (ulat jenazah) kepadanya bermula pakej pertama iaitu mandi dan kafan hingga pakej penuh ke liang lahat.

Dia juga terkejut apabila caj bagi pakej lengkap dipilihnya mencecah RM4,500.

“Caj yang dikenakan dianggap cekik darah dan membuka pekung niat di sebalik tawaran pengurusan jenazah yang ditawarkan individu terbabit,” katanya.

Malah, lebih tertekan apabila dia terpaksa meminjam wang ahli keluarga bagi melunaskan bayaran pengurusan jenazah memandangkan ketika itu dia baharu kehilangan pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengalaman sama turut dikongsi Ahmad Fahmi Izzuddin Ahmad, 23, yang mendakwa ditipu untuk caj tayamum jenazah ibunya yang meninggal dunia akibat Covid-19, Ogos tahun lalu.

Katanya, seorang ‘ustazah’ hadir di bilik mayat meminta bayaran perkhidmatan RM700 sebelum lesap selepas menerima wang terbabit.

“Ketika di hospital, ada seorang wanita bersama lelaki yang berperwatakan alim sedang menunggu di luar bilik mayat.

“Mereka pandai menghidu peluang apabila akan terus mendekati saya dan menawarkan pakej untuk menguruskan jenazah ibu dengan caj tertentu. Selepas bayaran dibuat, mereka lesap dan hanya memberikan resit tanpa nama syarikat sebagai tanda persetujuan,” katanya.

Bagi Ustaz Abu Dhar yang juga seorang imam, dia turut terkesan apabila kehadirannya untuk membantu menguruskan jenazah dipersoalkan seorang individu lain yang dipercayai Ketua Biro Kematian.

Katanya, dia hadir ke hospital selepas dimaklumkan ada kematian di dalam kumpulan WhatsApp masjid kariahnya.

“Apabila saya tiba, ada seorang lelaki yang juga Ketua Biro Kematian mempersoalkan kehadiran saya di hospital.

“Saya kemudian jelaskan kepadanya kehadiran saya bukan disebabkan duit, tetapi untuk membantu menguruskan jenazah demi pahala dan ikhlas kerana Allah SWT.

“Soal duit memang menjadi isu kerana akan timbul perebutan antara kumpulan tertentu untuk menguruskan jenazah sedangkan ada individu lain yang memang ikhlas nak bantu tanpa balasan atau bayaran,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Unit Kenderaan Van Jenazah (UKVJ) Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman berkata, terdapat lokasi hospital menjadi lubuk golongan berkenaan yang dipercayai mendapat maklumat daripada orang dalam.

Katanya, tidak kurang lima hospital terbesar di Lembah Klang yang menjadi lokasi buat a ‘ulat jenazah’ ini dan keadaan itu dipercayai sudah lama berlaku.

“Kami memang ada terima aduan daripada waris yang mendakwa lima hospital di Lembah Klang menjadi lubuk ‘ulat jenazah’.

“Mereka dipercayai mendapat maklumat mengenai kematian daripada ‘orang dalam’ bahagian forensik atau bilik mayat.

“Kami juga tawarkan khidmat menguruskan jenazah secara percuma dan berharap masalah ‘ulat jenazah’ ini dapat dihapuskan,” katanya.

Berdasarkan tinjauan wartawan TV9, harga alat memandi dan mengkafankan jenazah antara RM60 hingga RM70 manakala debu tayamum pula berharga RM30 hingga RM40 dan kelengkapan itu mampu menyempurnakan 200 jenazah.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker