Wanita tahu dirinya lelaki selepas 20 tahun

Riyadh: Seorang wanita di Arab Saudi, terkejut apabila mendapat tahu bahawa dia sebenarnya adalah lelaki, 20 tahun selepas dilahirkan.

Ia difahamkan berpunca daripada ‘kesilapan perubatan’, lapor Gulf News yang memetik media negara itu.

Menurut Al Ekhbariya TV, individu itu tidak mengetahui bahawa dia sebenarnya mempunyai alat sulit lelaki yang tersembunyi di dalam abdomennya.

Ketika dilahirkan di sebuah hospital di sini, dia dikesan mempunyai ketidaknormalan pada bahagian alat sulit.

Namun, doktor pada masa itu menyangka jantina bayi berkenaan adalah perempuan dan keluarga memberinya nama sebagai Randa.

Apabila usianya meningkat, Randa pelik apabila dia tidak mempunyai ciri-ciri remaja perempuan yang akil baligh seperti rakannya yang lain.

Apabila pergi ke hospital dan menjalani pemeriksaan menyeluruh, dia didapati mempunyai alat sulit lelaki yang tersembunyi di dalam bahagian abdomennya.

“Pada mulanya, ia perasaan yang sangat pelik, seperti mereka berbohong kepada saya. Tidak logik untuk saya kerana saya seakan bermula dari kosong. Nama baharu, identiti baharu, tiada kawasan, tiada saudara,” kata Randa.

Menurutnya, doktor mengesyorkan supaya dia menjalani pembedahan untuk mengeluarkan alat kelamin lelaki pada badannya itu.

“Doktor mencadangkan saya ke United Kingdom untuk pembedahan itu. Tetapi, pihak berkuasa berkaitan menolak dokumen perjalanan saya,” katanya.

Menurut Al Ekhbariya TV, keluarga Randa sudah mengemukakan aduan terhadap Kementerian Kesihatan, namun sehingga kini masih belum ada maklum balas.

Bapa gadis itu berkata, dia cuba berhubung dengan pihak hospital di mana Randa dilahirkan, tetapi masih tiada jawapan.

METRO

Leave a Reply