2 maut, remaja parah kemalangan

Yan: Dua penunggang motosikal maut manakala seorang remaja parah selepas motosikal mereka bertembung di Jalan Sungai Dedap, di sini, 11 malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Ahmad Ashraf Anwar Majdi, 24, yang menunggang Yamaha Y15, dan Muhammad Ridzuan Mohamad Noor, 19, yang menunggang Modenas Kriss.

Sementara itu, lelaki berusia 16 tahun yang menunggang Demak Evo Z pula parah dan sedang dirawat di Hospital Yan (HY).

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang remaja lelaki terbabit dan penunggang Yamaha Y15 dipercayai dari arah Sungai Daun menghala ke arah Kuala Kedah.

Beliau berkata, penunggang motosikal Modenas Kriss itu pula dari arah Kuala Kedah menghala ke arah Sungai Daun.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha Y15 itu bertembung dengan Modenas Kriss.

“Bagaimanapun remaja lelaki itu pula cuba mengelak perlanggaran kedua-dua motosikal terbabit menyebabkan dia terbabas ke tepi sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahnaz berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik HY untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Shahnaz berkata, sehubungan itu saksi yang menyaksikan kejadian kemalangan itu boleh menghubungi atau tampil di Balai Polis Yan untuk membantu siasatan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker