Carvalho akhirnya milik Liverpool

LONDON: Liverpool akhirnya melengkapkan perpindahan penyerang Fulham, Fabio Carvalho selepas gagal dalam usaha membawa pemain berusia 19 tahun itu ke Anfield pada Januari, kata naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.

Pemain remaja Portugal terbabit yang difahamkan menandatangani kontrak selama lima tahun, akan secara rasmi menyertai kelab Anfield itu pada 1 Julai ini.

Carvalho yang kontraknya tamat pada hujung Jun ini, ditetapkan untuk berpindah empat bulan lalu apabila perjanjian £5 juta (RM27.6 juta) dipersetujui pemenang Liga Kejuaraan itu, namun jendela perpindahan ditutup tanpa dokumen rasmi dan laporan perubatan.



Liverpool dilaporkan bersetuju untuk membuat bayaran lebih tinggi sebagai tambahan dan melampirkan klausa penjualan 20 peratus.

Carvalho memainkan peranan penting dalam menaikkan Fulham kembali ke EPL, menjaringkan 10 gol dan membantu lapan gol lain dalam 36 perlawanan ketika pasukan Marco Silva memenangi liga Kejuaraan.

Dia membuat penampilan sulung untuk pasukan bawah 21 tahun Portugal pada Mac, selepas mewakili England di peringkat remaja sebelum ini.

Ketibaan Carvalho akan menambah satu lagi tenaga muda kepada barisan penyerang dinamik Liverpool, yang sudah dirangsang oleh kehadiran Luis Diaz pada Januari.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button