Dua putera Sultan Johor sama hebat

Kuala Lumpur: Dua putera Sultan Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim membuktikan mereka sememangnya berbakat dalam dunia perlumbaan apabila masing-masing berjaya menaiki podium pada siri perlumbaan GT World Challenge Asia yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lalu.

Tunku Abdul Rahman yang juga Tunku Panglima Johor, memenangi perlumbaan pembuka tirai Sabtu lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ketika bergandingan dengan naib juara musim 2018, Nick Foster dari Australia.

Manakala Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar yang bergandingan bersama pemandu berpengalaman, Jazeman Jaafar menaiki podium kedua pada perlumbaan kedua, semalam.

Kedua-dua putera Sultan Johor itu beraksi bersama pasukan Triple Eight JMR yang menampilkan dua jentera Mercedes AMG GT3 dalam kategori Pro-Am.



Kejayaan Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar menyaksikan pasukan yang diwakili mereka kini berada di kedudukan kedua kejohanan dengan 61 mata.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menerusi platform media sosial miliknya memuji prestasi kedua-dua puteranya itu.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua anak lelaki saya atas keputusan cemerlang mereka hujung minggu ini di Sepang. Saya harap mereka terus beraksi dengan baik sepanjang musim ini,” titahnya.

Selepas Sepang, saingan GT World Challenge Asia akan diteruskan di empat litar Jepun (Suzuka, Fuji, Okayama & Sugo) sebelum berakhir di Litar Mandalika, Indonesia pada bulan Oktober.



GT World Challenge Asia adalah salah satu perlumbaan sokongan bagi pusingan pertama Siri Kejuaraan Malaysia (MCS).

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker