Henti eksport 3.6 juta ayam, mansuh AP

Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan mulai 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil dengan keutamaan terhadap bekalan rakyat negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketetapan itu antara beberapa langkah jangka pendek yang diputuskan mesyuarat Kabinet hari ini bagi menangani masalah bekalan serta harga ayam ketika ini.

Katanya, kerajaan juga mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan agensi.

“Langkah lain, memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.



“Mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam, serta menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga sedar terdapat laporan wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

Berhubung isu itu, beliau memaklumkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang melakukan siasatan dan ia dijangka selesai pada Jun.

“Jika didapati wujud kesepakatan kartel berkenaan, maka kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.



“Pada masa yang sama, kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.

“Kerajaan akan memperkenalkan semula jihad memerangi orang tengah yang telah saya perkenalkan pada 2014. Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat Kabinet hari ini turut menerima pandangan Ahli Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung dan hampas isirung kelapa sawit (PKC) sebagai alternatif kepada makanan ayam.

Selain itu, persetujuan dicapai untuk kerjasama dengan kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (Tol) bagi tujuan berkaitan untuk jangka masa panjang.

“Mafi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diminta membentangkan pelan-pelan berkenaan dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung, PKC dan sebagainya.

“Kerajaan turut menggalakkan GLC, agensi kerajaan, pertubuhan peladang dan koperasi untuk turut terlibat dalam penternakan ayam.

“Kerajaan akan mengkaji dari segi bantuan kepada mereka yang terlibat. Ini adalah sebahagian pelan Jangka Sederhana dan Jangka Panjang yang akan dirangka oleh Mafi dan KPDNHEP,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Peguam Negara yang menyertai mesyuarat itu menasihati Kabinet untuk menguatkuasakan sepenuhnya Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika terdapat sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam.

Menurutnya, tindakan boleh diambil mengikut akta berkenaan dan lesen mereka yang terbabit juga boleh dibatalkan serta merta.

“Kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

“Ketika ini, kerajaan sudah menetapkan harga siling ayam standard pada RM8.90 sekilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak kerajaan mendapati beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran.

Setakat ini, Ismail Sabri berkata, hanya RM50 juta subsidi sudah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker