Lima warga asing ditahan bersama ganja

Kuala Lumpur: Polis menahan lima lelaki warga asing ditahan bersama lebih satu kilogram (kg) ganja yang tidak sempat untuk diedarkan, semalam.

Mereka ditahan menerusi dua serbuan berasingan di Brickfields dan Petaling Jaya dekat sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, tangkapan pertama membabitkan dua suspek berusia 21 dan 23 tahun di kawasan tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Sri Hartamas pada 6.15 petang.

Katanya, pemeriksaan menemui satu beg berisi satu ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 1.004kg dalam Toyota Yaris yang dinaiki dua suspek terbabit.



“Hasil siasatan lanjut, polis menyerbu sebuah kondominium di Petaling Jaya dan menahan tiga lagi lelaki warga asing berusia lingkungan 21 hingga 30 tahun, kira-kira jam 8.30 malam.

“Dalam pemeriksaan di kondominium itu, kita menemui 10 ketulan mampat daun kering dadah jenis ganja serta satu peket lutsinar mengandungi ceraian daun kering dipercayai dadah jenis sama dengan berat keseluruhan 205 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 1.2kg dianggarkan bernilai RM3,250 dan sekiranya diedarkan, ia boleh disalahgunakan kira-kira 2,400 pengguna dadah.

“Keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada lima suspek didapati positif dadah THC.



“Tiga suspek direman tujuh hari, manakala dua lagi direman enam hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Katanya, siasatan masih diteruskan bagi mengesan saki baki ahli sindiket itu serta sumber bekalan dadah diperoleh.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menyalurkan maklumat di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker