Penternak, persatuan komited jamin terus bekalkan ayam

PUTRAJAYA: Pengusaha industri ayam tempatan memberi jaminan dan komitmen untuk terus membekalkan ayam bagi keperluan pasaran tempatan.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan media, berkata komitmen itu disuarakan melalui sesi libat urus antara Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee yang diadakan bersama 12 pemain industri dan persatuan penternak yang diadakan semalam.

Kenyataan itu menyebut antara pemain industri dan persatuan penternak terbabit adalah Leong Hup Poultry Farm Sdn. Bhd., HLRB Broiler Farm Sdn. Bhd., PWF Corporation Bhd, Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) dan Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS).

“MAFI mengambil maklum semua isu yang dibangkitkan termasuk peningkatan kos pengeluaran ayam, masalah kenaikan berat badan ayam, jangkitan penyakit, keadaan cuaca dan proses Kebenaran Merancang (KM). Ia antara lain menjejaskan operasi dan seterusnya memberikan kesan kepada bekalan ayam,” katanya.

Turut dibincangkan adalah isu berkaitan dengan pemberian subsidi ayam melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar kepada penternak dan MAFI berkata, jabatan itu akan terus mempermudah dan mempercepatkan proses tuntutan subsidi penternak ayam bagi merancakkan aktiviti pengeluar makanan ke arah meningkatkan pengeluaran domestik.

Kenyataan itu menyebut, MAFI sebelum ini pun sudah mempermudahkan prosedur permohonan bagi mempercepatkan pembayaran subsidi kepada penternak ayam.

Selain itu, tindakan juga sedang diambil dengan menggerakkan lebih ramai pegawai ke peringkat negeri bagi menyegerakan semakan permohonan.

MAFI berkata, melalui penetapan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 setiap kilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta menerusi Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu, ia bertujuan untuk meringankan beban kos pengeluar ayam yang kian meningkat.

Bagaimanapun, katanya, hanya RM50 juta subsidi sudah dibayar setakat ini.

Justeru, kementerian itu meminta semua penternak yang memenuhi syarat diminta untuk mengemukakan permohonan supaya tuntutan dapat disalurkan dalam tempoh yang dijanjikan.

“MAFI akan terus mengadakan perjumpaan dan libat urus dengan pihak industri yang memainkan peranan penting serta terbabit langsung dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam bagi memastikan kelangsungan pengeluaran kekal terjamin.

“Pada masa sama, kerajaan juga tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyorok, menyimpan atau sabotaj terhadap bekalan ayam di pasaran yang dapat menjejaskan kehidupan rakyat.

“MAFI sentiasa memandang serius sebarang perkara yang mengancam sekuriti makanan negara dan akan terus mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan bekalan makanan negara terus kekal terjamin demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker