Angie Yen mahir loghat Ireland selepas pembedahan tonsil

Sydney: Loghat tiba-tiba bertukar selepas pembedahan. Situasi itu berlaku kepada seorang doktor gigi di Australia yang mahir bertutur Bahasa Inggeris dengan loghat Ireland selepas menjalani pembedahan tonsil, walaupun tidak pernah melawat negara itu.

Rutin kehidupan dan suara Angie Yen (gambar), 29, berubah pada April tahun lalu, lapor Daily Star.

Wanita yang berasal dari Taiwan dan berpindah ke Brisbane ketika berusia lapan tahun itu tiba-tiba kehilangan loghat Australianya, ketika menyanyi di bilik mandi.

Kini, dia mendokumentasikan transformasi vokalnya setahun kemudian, dengan kisahnya menjadi tular di TikTok.

“Saya masih mempunyai bunyi (loghat) Amerika dan Ireland Utara yang ringan. Ia menjadi lebih tebal apabila saya tertekan, letih atau kusam.

“Saya masih sukar untuk menyebut perkataan profesional saya sebagai doktor gigi, kadangkala memalukan, orang ramai bergelut untuk memahami apa yang saya katakan dan saya kecewa diminta mengulangi percakapan,” katanya kepada 7News.

Menceritakan kisahnya, Angie berkata, ia berlaku pada tempoh 10 hari ketika dia dalam pemulihan daripada tonsilektomi (pembuangan tonsil secara pembedahan).

Ketika menyanyi di bilik mandi, dia perasan suaranya kedengaran berbeza dan tidak mahu berjumpa doktor.

“Saya seperti dipinggirkan, ditertawakan, diejek tetapi tidak mendapat jawapan mengapa saya jadi seperti ini. Ia sangat gila dan pelik,” katanya.

Dia dirujuk kepada pakar hidung, tekak dan telinga yang kemudiannya didiagnosis dengan Sindrom Loghat Asing, gangguan otak yang jarang berlaku yang biasanya dicetuskan oleh kecederaan kepala, strok atau pembedahan.

Bagaimanapun, selepas lebih setahun, loghatnya masih belum kembali sepenuhnya.

Angie, yang tidak pernah melawat Ireland dan tidak mempunyai sebarang susur-galur Ireland berkata dia tidak tahu perkara seperti itu boleh berlaku.

“Sungguh pelik kerana saya tidak pernah mengalami masalah pertuturan walaupun bahasa Inggeris menjadi bahasa kedua saya dan saya dibesarkan di sini (Australia),” katanya.

Angie kini menghadapi cabaran jangka panjang untuk menerima loghat, suara dan identiti baharunya dan berkongsi perjalanannya di media sosial.

Ia kerana hanya kira-kira 150 orang di seluruh dunia yang terjejas oleh keadaan itu, sejak kes pertama seumpamanya diketahui pada 1907.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker