Beberapa kawasan di Seremban dilanda banjir kilat

Seremban: Beberapa kawasan di daerah ini terjejas akibat banjir kilat termasuk Kampung Semarak, Rahang di sini.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK), Hassan Hussin, 65, berkata, sekurang-kurangnya 60 rumah penduduk terjejas selepas hujan lebat berlarutan dua jam sejak 6 petang.

Katanya, rumah penduduk ditenggelami air sedalam lebih satu meter.

“Kebanyakan penduduk berada di rumah ketika air naik dan setakat ini tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Seorang penduduk, Zaharuddin Abd Majid, 43, berkata, air naik dengan cepat menyebabkan mereka bertungkus lumus menyelamatkan barangan berharga.

“Terdapat penduduk yang tidak sempat pun mengalihkan kenderaan. Ini kali kedua banjir kilat berlaku selepas Disember lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Mohd Syukri Madnor berkata, Kampung Ismail dekat Ampangan antara kawasan paling teruk terjejas apabila berlaku limpahan daripada sungai berhampiran.

“Anggota kami sudah berada di lokasi dan sedang melakukan kerja menyelamatkan mangsa di beberapa rumah yang dinaiki air.

“Air naik sehingga paras 0.5 meter di kawasan jalan yang mana tidak boleh dilalui. Ketika ini pihak kami belum menerima jumlah rumah dan mangsa terjejas kerana anggota masih melakukan operasi mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Kawasan lain, katanya, adalah Taman Purba dekat Ampangan, Jalan Tunku Kursiah dan Kampung Semarak.

“Anggota turut menerima beberapa panggilan di lokasi berkenaan, namun keadaan masih terkawal dan air semakin surut. Penduduk membersihkan rumah masing-masing,” katanya.

Beliau turut memaklumkan berlaku pokok tumbang di Jalan Pantai berhampiran kilang koko yang menyebabkan laluan tertutup.

“Anggota yang ke lokasi menjalankan operasi memotong, mengalihkan dan membersihkan pokok yang tumbang. Bagaimanapun, tiada mangsa atau kenderaan yang terbabit,” katanya yang turut menasihati orang awam supaya tidak meredah jalan yang dinaiki air.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker