Hotel bajet ‘curi’ air dikompaun

Seremban: Hotel bajet di bandar ini dikenakan notis pemberitahuan kesalahan selepas dikesan mendapat bekalan air bersih tanpa melalui meter yang sah.

Dalam satu hantaran di Facebook, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), tindakan itu diambil berdasarkan aduan yang diterima Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) berkenaan wujud potensi penyambungan bekalan air terawat secara menyalahi undang-undang.

Berikutan itu, Sains mengatur satu operasi bersepadu bagi mengesahkan aduan berkenaan yang diterima.

“Hasil pemeriksaan di lokasi, hotel berkenaan didapati menggunakan paip jenis Unplasticized Polyvinyl Chloride (UPVC) bersaiz 15 milimeter (mm) di tetiang meter premis itu.

“Semakan pihak Sains juga mendapati akaun bekalan air di premis titu adalah berstatus ‘pemotongan’ dan tindakan segera perlu dilakukan.

“Ujian teknikal yang dilaksanakan juga mendapati bekalan air yang diperolehi secara tidak sah itu adalah untuk kegunaan harian penghuni di hotel bajet itu,” kata SPAN.

Menurutnya, ujian klorin juga dilaksanakan dan hasil ujian mengesahkan ia adalah air terawat yang dibekalkan Sains.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker