Import ayam Brazil, Jakim tiada masalah

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) tidak mempunyai masalah untuk menerima produk ayam dari Brazil asalkan ia mengikut pematuhan halal berdasarkan standard dan protokol yang ditetapkan negara ini.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, sekiranya terdapat permohonan untuk mengimport ayam dari Brazil, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan menguruskan audit pematuhan ke loji di negara berkenaan dan Jakim akan turut serta bagi memastikan pematuhan halal yang ditetapkan itu dipatuhi.

“Jakim tidak mengeluarkan sijil halal kepada loji dari luar negara tetapi mewajibkan loji berkenaan mempunyai pensijilan halal daripada badan pensijilan halal yang diiktiraf di negara pengeluar.

“Namun pensijilan halal di negara pengeluar itu tidak bermakna mereka boleh mendapat kebenaran import produk ke Malaysia secara automatik.



“Ia hanya hanya berlaku selepas pemeriksaan dibuat dan diluluskan oleh JPV, selepas itu barulah produk berkenaan diterima masuk ke negara ini,” katanya.

Hakimah berkata, dengan proses itu, ia menolak kenyataan yang mengatakan bahawa ketiadaan sijil halal daripada Jakim membantutkan usaha kerajaan mendapatkan bekalan ayam yang lebih murah dari Brazil.

“Isu ini tidak berbangkit kerana urusan pemeriksaan diuruskan oleh pihak JPV dan Jakim bersedia untuk menghantar juruaudit bagi memastikan pematuhan halal menepati keperluan halal di negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera Datuk Ameer Ali Mydin mendakwa usaha usahawan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah akan sia-sia sekiranya agensi kerajaan yang memberikan pengiktirafan dan pensijilan halal serta keselamatan makanan gagal membantu usaha berkenaan.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker