Jari cedera gara-gara mercun bola meletup

Tanjong Karang: Pekerja pembersihan rumah cedera selepas mercun bola yang digunakan untuk menghalau monyet meletup di tangannya, hari ini.

Kejadian pada 3.30 petang itu berlaku di Bukit Belimbing, di sini yang mencederakan dua jari kanan Masturi Mustafa, 45, dan menyebabkan bengkak apabila cincin emas dipakai tersekat.

Masturi berkata, kejadian berlaku di rumah adiknya ketika melakukan kerja pembersihan dan dia menggunakan mercun bola bagi menghalau monyet liar.

“Bagaimanapun, saya tidak sangka ia tiba-tiba meletup di tangan. Akibat letupan itu, dua jari tangan saya berdarah dan sangat menyakitkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, adik iparnya kemudian menghantar dia ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan untuk khidmat bantuan khas itu pada 6.28 petang.

Katanya, sepasukan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke HTK selepas dimaklum kejadian.

“Didapati dua cincin tersekat pada jari mangsa dalam keadaan membengkak. Operasi menanggalkan cincin itu mengambil masa 12 minit,” katanya yang memberitahu operasi tamat pada 6.44 petang.

METRO

Leave a Reply