Malaysia layak Super 4

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara mengesahkan tiket ke kelompok Super 4 Piala Asia 2022 selepas melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan B dengan menewaskan Korea Selatan 5-4 di Jakarta, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Arul Selvaraj mengumpul enam mata selepas turut menewaskan Oman 7-0 dalam aksi sulung, semalam.

Skuad negara dijangka tidak berdepan masalah untuk muncul juara Kumpulan B apabila bertemu Bangladesh dalam aksi terakhir kumpulan, Khamis ini.

Skuad negara kini hanya menunggu keputusan perlawanan membabitkan India yang bersaing dalam Kumpulan A dan sekiranya pasukan itu turut layak ke kelompok Super 4, ini bermakna tiga pasukan lain secara automatik layak ke Piala Dunia 2023.

India sudah pun layak menerusi tiket selaku tuan rumah kejohanan berprestij itu.

Terdahulu, pertemuan Malaysia dengan Korea berlangsung sengit dengan skuad negara terlebih dahulu mendahului 2-0 menerusi gol padang Norsyafiq Sumantri pada minit ke-11 dan Muhamad Razie Rahim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti enam minit kemudian.

Yang Jihun menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-25 untuk Korea merapatkan jurang tetapi dua minit kemudian Norsyafiq menjaringkan gol padang untuk kedudukan semasa Malaysia mendahului 3-1.

Bersambung babak kedua, Mohamad Ashran Hamsani mengukuhkan kedudukan skuad negara menerusi pukulan sudut penalti minit ke-32, namun Korea mencetuskan cemas selepas Jang Jonghyun menyempurnakan penalti stroke minit ke-34 dan Kim Sunghyun menjaringkan gol padang minit ke-40 untuk kedudukan semasa Malaysia mendahului 4-3.

Razie melegakan kem skuad negara apabila tenang menolak masuk bola menerusi pukulan sudut penalti minit ke-52 tetapi Yang Jihun kembali merapatkan jurang minit ke-56 sebelum kedudukan 5-4 kekal sehingga tamat perlawanan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker