Mayat Rokiah sudah jumpa

CHUKAI: Selepas hampir seminggu, Rokiah Abd Rahman,59, yang hilang ketika mandi bersama suaminya di Pantai Penunjuk, Kijal Kemaman, awal pagi Jumaat lalu, akhirnya ditemui mati lemas malam tadi.

Mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian dijumpai terapung oleh nelayan di kawasan perairan Pulau Tenggol berhampiran Teluk Air Tawar, kira-kira jam 7.15 malam.

Komander Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Nazimi Mohamad, berkata berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat berlarutan selama lima hari.

“Mayat mangsa ditemui terapung kira-kira 40 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang. Nelayan terbabit kemudian menghubungi pihak berkuasa sebelum anggota penyelamat ke lokasi untuk mengambil mayat,” katanya hari ini.

Mohd Nazimi berkata, mayat dibawa masuk ke Kuala Kemaman, kira-kira jam 4 pagi tadi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi, mengesahkan mayat berkenaan adalah Rokiah hasil pengecaman oleh ahli keluarga berdasarkan muka dan pakaian yang dipakai mangsa.

Jumaat lalu, Rokiah bersama suami, Ahmad Qarib Ab Kadir, 60, dari Termeloh, Pahang, lemas ketika mandi di pantai terbabit, kira-kira jam 4 pagi, namun mayat suaminya berjaya ditemui kira-kira jam 2.10 petang sehari selepas itu pada jarak sekitar dua batu nautika dari Kuala Kemaman.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker