Pemain industri ayam kecewa

Kuala Lumpur: Pemain industri menyuarakan kekecewaan berikutan keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, beliau dihubungi pihak industri itu yang memaklumkan sangat terkesan dengan langkah drastik berkenaan.

“Saya kata (maklumkan industri), sepatutnya boleh jangka langkah drastik sebegini mungkin diambil dan ia kini telah diambil kerajaan kerana kita terdesak dengan ketiadaan ayam, (bekalan) tidak cukup di pasaran.



“Sebab itu industri sepatutnya memastikan bekalan ayam mencukupi, supaya tak perlulah keputusan yang sangat drastik ini diambil.

“Kita bagi ruang sedikit, bukan (kuat kuasa larangan) serta-merta. Kita bagi satu minggu lebih hingga Jun untuk ini dilaksanakan,” katanya yang ditemui pada Majlis Kenduri Raya bersama Sektor Perdagangan Dalam Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Nanta berkata, negara lain turut mengambil langkah sama untuk menjamin bekalan rakyat sendiri, sebelum mengeksport ke luar.

“Biarlah (ambil langkah) untuk menampung permintaan dalam negara dahulu, untuk rakyat kita.. kalau ada lebih nanti bolehlah dieksport,” katanya.



Beliau memberitahu larangan eksport bukan langkah jangka panjang sebaliknya, ia akan dibenarkan semula selepas keadaan bekalan negara kembali pulih.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor kerajaan memutuskan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan mulai 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil demi mengutamakan bekalan buat rakyat dalam negara.

Ketetapan itu antara beberapa langkah jangka pendek yang diputuskan mesyuarat Kabinet bagi menangani masalah bekalan serta harga ayam ketika ini.

Kerajaan juga mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan agensi, selain memansuhkan permit import (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam.



METRO

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button