Penembak remaja tembak mati 14 pelajar, seorang guru

TEXAS: Seramai 14 pelajar dan seorang guru di sebuah sekolah di South Texas maut selepas terkena tembakan dilepaskan lelaki bersenjata, tengah hari semalam.

Gabenor Greg Abbott, ketika memaklumkan perkara itu kepada pemberita berkata, suspek dikenali sebagai Salvador Ramos berusia 18 tahun dipercayai ditembak mati pegawai polis yang bertindak balas di lokasi kejadian.

Beliau berkata, dua daripada pegawai polis turut terkena tembakan, namun tidak mengalami kecederaan serius dengan pihak berkuasa menjelaskan suspek bertindak sendirian.

Bagaimanapun, butiran rasmi mengenai selepas keganasan yang berlaku di Sekolah Rendah Robb di bandar Uvalde, Texas, kira-kira 128.75 kilometer (km) ke barat San Antonio itu masih kabur.



“Suspek menembak dan membunuh secara mengerikan, tidak dapat difahami, membunuh 14 pelajar dan seorang guru. Suspek juga maut, dipercayai ditembak pegawai yang bertindak balas di lokasi kejadian,” katanya.

Berdasarkan laporan CNN, lelaki terbabit memandu dan masuk ke sekolah dengan senapang dan pistol.

Sementara itu, Ketua Jabatan Gabungan Bebas Sekolah Uvalde, Pete Arredondo, berkata mayat pelajar terdiri daripada murid gred dua, tiga dan empat.

Hospital Universiti di San Antonio di Twitter berkata, pihaknya menerima dua mangsa tembakan di Uvalde, masing-masing seorang wanita berumur 66 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, dalam keadaan kritikal.



Amukan di Texas adalah kejadian terbaru dalam siri tembakan besar-besaran di sekolah di Amerika Syarikat ((AS) yang mengejutkan dunia dan mencetuskan perdebatan sengit antara penyokong kawalan senjata lebih ketat dan penentang undang-undang boleh menjejaskan hak rakyat untuk memegang senjata.

Kejadian di Texas adalah antara paling mengerikan setakat ini, selepas seorang lelaki bersenjata membunuh 26 orang, termasuk 20 kanak-kanak berusia lima hingga 10 tahun di Sekolah Rendah Sandy Hook di Connecticut pada Disember 2012.

Pada 2018, seorang bekas pelajar di Marjory Stoneman Douglas High School di Parkland, Florida, membunuh 17 pelajar dan pendidik.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker