Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan minat belian baharu dalam persekitaran permintaan yang rendah terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu susulan hasil Perbendaharaan AS yang rendah, kata penganalisis.

Pada 9.07 pagi, unit tempatan berada pada 4.3865/3900 berbanding dolar AS daripada 4.3940/3980 pada Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 2 tahun dan 10 tahun, masing-masing merosot 14 dan 10 mata asas kepada 2.48 peratus dan 2.75 peratus, yang akan memberikan sedikit kelegaan kepada ringgit hari ini.

“Ekuiti penanda aras turut jatuh, diterajui oleh sektor teknologi berikutan pendapatan dijangka mencabar pada masa depan,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.21 peratus kepada 101.857 mata, menjadikan ringgit lebih menarik kepada pemain pasaran.

Beliau berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang mengukur sentimen perniagaan turut merosot di Eropah dan AS, menunjukkan komuniti perniagaan semakin berhati-hati terhadap prospek ekonomi walaupun bacaan mereka masih melebihi nilai ambang 50 mata.

Mohd Afzanizam percaya tidak banyak pemangkin untuk ringgit berikutan sentimen masih lemah.

“Susulan itu, perdagangan dalam jajaran kecil dijangka dalam tempoh terdekat,” katanya.

Ringgit, bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1934/1962 daripada 3.1966/1999 pada Selasa, merosot berbanding yen Jepun kepada 3.4548/4578 daripada 3.4506/4540 dan susut berbanding pound kepada 5.4923/4967 daripada 5.4885/4935.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.7010/7048 daripada 4.7064/7107 semalam.

Bernama

Leave a Reply