Tiga terselamat, pikap jatuh gaung

Tanah Merah: Tiga pekerja ladang balak berdepan detik cemas apabila pacuan empat roda yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung sedalam 100 meter (m) di Kampung Sokor, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 3 petang ketika dua lelaki dan seorang wanita berusia 23 hingga 39 tahun yang menaiki Toyota Hilux dalam perjalanan ke ladang terbabit.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, kesemua mereka menaiki kenderaan dari arah Kuala Tiga menghala ke Sokor.

“Sampai di tempat kejadian iaitu laluan mendaki, kenderaan dipandu pemandu berusia 23 tahun terbabas ke kiri jalan dan tergolek jatuh ke dalam gaung pada ketinggian lebih kurang 100m.

“Kesemua mangsa terselamat tetapi mangsa wanita dipercayai patah kaki kiri dan mereka dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Mohd Rafain Mat Zin berkata, seramai 13 anggota daripada BBP Tanah Merah dan BBP Kemahang terbabit dalam operasi menyelamat terbabit.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira dua jam untuk menaikkan mangsa dan mangsa lelaki berusia 39 tahun terpaksa dibawa menggunakan pengusung kerana mengadu sakit di bahagian belakang.

METRO

Leave a Reply