UUM tidak sorok fakta kematian penuntut

Alor Setar: Universiti Utara Malaysia (UUM) sentiasa bersikap terbuka dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang melakukan siasatan terhadap sebarang kejadian yang berlaku di kampus itu.

Ini termasuk kematian seorang penuntut di asrama kampus Sintok, Sabtu lalu.

Naib Canselor Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pihaknya juga tidak berhasrat menyembunyikan sebarang fakta yang boleh mengganggu siasatan.

Katanya, enam pegawai Suruhanjaya Tenaga dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah hadir menjalankan siasatan di tempat kejadian.

“Masyarakat di luar diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi termasuk mengenal pasti punca sebenar kematian penuntut itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, penuntut Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat), S Vinosiny, 21, ditemui meninggal dunia di asramanya yang didakwa akibat renjatan elektrik.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menunggu keputusan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

Katanya, kematian penuntut itu setakat ini diklasifikasikan mati mengejut.

METRO

Leave a Reply