39 keluarga pindah ke pusat pemindahan sementara

TANJUNG MALIM: Kira-kira 39 keluarga mangsa banjir dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS), berikutan banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan dekat sini, malam tadi.

Kawasan dinaiki air akibat hujan lebat adalah Kampung Rasau, Slim Village, Trolak Pekan, Trolak dan Taman Slim Permai, Slim River.

Pengerusi Bencana Daerah Muallim merangkap Pegawai Daerah Muallim, Mohamad Fitri Hassan, berkata sembilan keluarga di Kampung Rasau berpindah di PPS Sekolah Agama Rakyat Kampung Rasau jam 7.30 malam tadi.

Katanya, 26 keluarga di Trolak Pekan pula berpindah di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil ( SJKT) Trolak Pekan manakala empat keluarga di Taman Slim Permai berpindah di PPS Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

“Penduduk yang terbabit dalam kejadian banjir kilat dinasihatkan mengambil langkah berwaspada dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa,” katanya ketika melawat PPS Pejabat KEMAS, malam tadi.

Mohamad Fitri turut menasihatkan, penduduk yang terbabit di kawasan banjir agar sentiasa membuat persediaan dan mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

BHOnline

Leave a Reply