AS Roma juara Liga Conference Europa

TIRANA: Jose Mourinho yang penuh emosi meraikan pencapaian bersejarahnya apabila bergelar pengurus kedua menang lima gelaran utama Eropah selepas Giovanni Trapattoni apabila pasukannya, AS Roma menang Liga Conference Europa hari ini.

Mourinho, yang sebelum ini pernah menang Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Piala UEFA, melengkapkan semua trofi Eropah apabila Roma menewaskan Feyenoord 1-0 di Tirana bagi memastikan dia juga mengumpul Liga Conference dalam koleksinya.

Ia adalah lima final Eropah buat Porto, Inter Milan, Manchester United dan Roma sejak 2003 yang dilatih Mourinho dan lima kali dia membawa pulang trofi berkenaan.

“Perkara hebat mengenai karier saya ialah selain Liga Europa bersama Manchester United, melakukannya bersama Porto, Inter dan Roma sangat-sangat istimewa,” kata Mourinho.

“Ia sesuatu yang dimenangi apabila orang menjangkakannya, apabila anda membuat pelaburan terhadapnya, tetapi ia berbeza untuk menang apabila anda merasakan anda tidak akan kalah, ia rasa sangat istimewa.

“Ini akan menjadi sejarah buat Roma, juga buat saya. Saya diberitahu hanya saya, Sir Alex (Ferguson) dan Giovanni Trapattoni menang trofi dalam tiga dekad berbeza. Ia membuatkan saya rasa agak tua, tapi ia bagus untuk karier saya.”

Ia menamatkan musim yang baik di ibu kota Itali itu buat Mourinho yang sebelum ini memimpin pasukannya untuk kedudukan keenam Serie A.

Pengendali dari Portugal itu tiada perancangan untuk mencari cabaran baharu apabila dia sudah bersedia untuk bersama kelab itu musim depan.

“Kini saya akan kekal, tiada keraguan mengenainya,” kata Mourinho. “Walaupun ada khabar angin, saya hanya mahu kekal di Roma.”

AFP

Leave a Reply