Dagangan ringgit dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini.

Seorang peniaga, berkata ini mungkin disebabkan pasaran tidak menyaksikan sebarang kejutan daripada minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC).

Pada jam 9.01 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.3920/3960 berbanding dolar AS daripada 4.3930/3960 pada penutup Rabu.

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata semasa mesyuarat dasar FOMC pada 3-4 Mei lalu, pegawai Fed bersetuju bahawa mereka perlu menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas dalam dua mesyuarat seterusnya pada Jun dan Julai sebagai langkah agresif untuk mengekang inflasi.



Berikutan ketiadaan kejutan daripada minit mesyuarat terbaru itu, fokus serantau kini kekal kepada perkembangan di China serta pelonggaran dasar selanjutnya yang boleh memberi impak yang baik kepada pertukaran asing serantau termasuk ringgit, katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Nilai mata wang tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1977/2008 daripada penutup Rabu pada 3.1947/1971, lemah berbanding pound Britain kepada 5.5366/5416 daripada 5.4908/4946 semalam dan turun berbanding euro menjadi 4.7008/7050 daripada 4.6895/6927 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.4452/4487 daripada 3.4563/4590 semalam.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker