Jangan samakan vape dengan rokok

Kuala Lumpur: Pertubuhan industri vape tempatan menzahirkan kebimbangan berhubung langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengawal selia produk vape sama seperti rokok.

Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) dan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, memaklumkan pertubuhan itu mewakili 3,000 usahawan, pengilang, pengimport dan penjual produk vape.

Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas berkata, sejak 2015, mereka sudah memohon kepada kerajaan supaya mengeluarkan peraturan kawal selia vape yang tersendiri, tetapi sehingga kini peraturan itu masih tidak diperkenalkan.

“Pada Belanjawan 2022, kerajaan mengumumkan cukai eksais yang tinggi kepada produk vape, sekali gus akan menjadikan produk ini jauh lebih mahal daripada rokok.

“Cadangan terbaharu ini pula yang mengenakan peraturan sama seperti rokok ke atas industri vape, dan ini tidak munasabah bagi industri vape.

“Terdapat pelbagai bukti menunjukkan produk vape adalah kurang mudarat berbanding rokok. Oleh itu peraturan untuk produk vape dan rokok tidak boleh disamakan,” katanya.

Presiden MVIA Rizani Zakaria berkata, vape bukan rokok tembakau dan tentunya peraturan yang digunakan ke atas rokok tidak patut dikenakan ke atas industri vape.

“KKM patut ambil pendekatan yang mana, produk vape dijadikan alternatif untuk perokok dan bukannya mengenakan peraturan yang drastik untuk produk vape atau menyamakan peraturan vape dengan rokok,” katanya.

Setiausaha Agung DPVM Ridhwan Rosli pula memaklumkan cadangan KKM wujudkan generasi penamat yang bersandarkan contoh dari New Zealand, memerlukan lebih banyak perbincangan dalam merangka peraturan bagi vape.

“Di New Zealand, produk vape dikawal selia berlainan daripada rokok dan dipromosikan sebagai produk alternatif untuk perokok berhenti merokok. Tiada perbincangan berkenaan cadangan generasi penamat untuk vape.

“Manakala, cadangan daripada KKM pula menyamakan peraturan produk vape dengan rokok dan ini bukanlah suatu tindakan yang patut diambil, memandangkan adanya potensi produk vape untuk membantu mengurangkan kadar perokok,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilapor mengumumkan cadangan untuk melarang penjualan rokok termasuk produk vape kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005.

METRO

Leave a Reply