Azhari kena serangan angin ahmar

KUALA LUMPUR: Mengalami angin ahmar hingga pernah kritikal apabila saluran darah dalam otak tersumbat, Februari lalu, pengarah filem Jin Notti, Azhari Zain, 50, berikhtiar mendapatkan rawatan alternatif seperti akupuntur dan urutan untuk memulihkan dirinya.

Selepas tiga bulan terlantar di hospital, Azhari yang juga pensyarah kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibenarkan pulang ke rumah di Shah Alam, Selangor, untuk meneruskan sesi rawatan.

Menceritakan perkembangan terkini suami, Wahizatul Nureen Azmi atau lebih mesra dengan panggilan Nureen memberitahu, Azhari stabil biarpun tidak boleh bergerak atau bertutur.

“Alhamdulillah, suami stabil dan saya terus memantau keadaannya. Dahulu, ketika masuk ke unit rawatan rapi (ICU), suami sukar bernafas hingga memerlukan sokongan mesin canggih.

“Keadaan itu memaksa lehernya ditebuk untuk memudahkan saluran pernafasan.

“Sekarang, suami tidak bergantung dengan apa-apa mesin lagi. Cuma, serangan angin ahmar boleh saya katakan agak teruk.

“Suami tidak boleh bercakap dan bergerak. Tetapi suami boleh menzahirkan ekspresi perasaan seperti menangis atau tersenyum dengan kontak mata dan bahasa tubuh,” katanya kepada BH Online.

Memulakan karier pada 2004, Azhari menjadi penulis dalam banyak projek filem antaranya Tangkai Jering, Potret Mistik, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan Duyung.

Selain Jin Notti, Azhari mengarahkan filem Santau, Zoo dan Mantra.

Nureen yang memiliki tiga cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Azhari berkata, suaminya tidak mempunyai sejarah penyakit kronik.

“Sebelum ini, suami tiada sejarah sakit itu dan ini. Apabila jatuh sakit, ia agak mengejutkan. Namun, saya reda dengan ujian ini.

“Selama ini, suami tiada penyakit tiga serangkai termasuk darah tinggi. Namun, tanpa diduga, selepas masuk ICU dan buat pemeriksaan rapi, pelbagai komplikasi penyakit dialami suami.

“Sepatutnya, pada 28 Februari lalu, suami terbabit dengan projek super telefilem untuk Astro yang diarahkannya,” katanya.

Nureen berkata, buat masa ini, suami meneruskan rawatan alternatif seperti akupuntur dan urutan.

“Itu antara ikhtiar saya untuk suami. Memang kena usahakan agar ada petugas yang boleh datang buat rawatan di rumah.

“Kebiasaannya, rawatan urutan dan akupuntur dibuat dua kali seminggu,” katanya.

Nureen mengaku berikutan keadaan kesihatan suami, ekonomi keluarga terjejas.

“Saya suri rumah tangga sepenuh masa. Mujur suami ada kerja tetap di UiTM.

“Jadi, suami masih ada pendapatan tetap setiap bulan. Bolehlah menampung kos rawatan dan urusan keluarga serba sedikit.

“Kalau harapkan kerja pengarahan semata-mata, mungkin situasi itu menyukarkan kami,” katanya.

Nureen bersyukur dikelilingi insan mulia yang bermurah hati mengurangkan beban dilalui keluarganya sekarang.

“Rakan industri seni, teman di universiti dan pelajar tidak lokek membantu,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker