Nilai tanah ditukar lebih rendah berbanding kos kerja projek terowong

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini dimaklumkan bahawa nilai dua bidang tanah kerajaan negeri yang dipindah milik kepada syarikat Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (Consortioum Zenith) sebagai ‘balasan’ kerja berkaitan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang, lebih rendah daripada kos kerja kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan.

Perkara itu dicadangkan peguam Haijan Omar ketika menyoal dua saksi bekas pegawai penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Georgetown, pada perbicaraan kes rasuah dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kedua-saksi terbabit adalah Zakariya Nayan yang kini bertugas sebagai pegawai penilaian di Jabatan Insolvensi dan Nurul Asshima Aminullah, yang melakukan kerja penilaian ke atas tanah berkenaan.



Mereka yang membacakan pernyataan saksi masing-masing berkata, nilai dua bidang tanah di Lot 702 dan Lot 713 Bandar Tanjung Pinang masing-masing adalah RM50 juta dan RM30 juta.

Zakariya Nayan, 55, berkata beliau membuat penilaian ke atas Lot 702 berdasarkan nilai pasaran RM3,360 satu meter persegi pada Disember 2014, manakala Nurul Asshima, 33, memaklumkan menilai Lot 713 pada RM30 juta pada 2016.

Zakariya bersetuju dengan cadangan Haijan bahawa nilai tanah itu jauh lebih rendah berbanding kos kerja yang dilakukan syarikat pemaju yang dianggarkan pada RM138 juta.

Nurul Asshima juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa nilai Lot 713 adalah kurang daripada RM73 juta yang dibelanjakan pemaju untuk projek berkenaan.



Kedua-dua saksi bersetuju bahawa berdasarkan perkara berkenaan, kerajaan negeri mendapat manfaat yang besar dan tidak mengalami sebarang kerugian melalui perjanjian pertukaran tanah itu.

Bagaimanapun, saksi ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika pemeriksaan semula berkata, mereka tidak mengetahui apakah bentuk kerja yang dilaksanakan oleh pemaju.

Dalam perbicaraan sebelum ini, bekas EXCO Pulau Pinang, Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata mesyuarat yang dipengerusikan Guan Eng pada 11 Disember 2014 meluluskan pemberi milikan Lot 702 di Bandar Tanjung Pinang di Daerah Timur Laut di negeri itu kepada Conzortium Zenith.

Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 juta.



Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Guan Eng juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 7 Jun depan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button