Pengarah syarikat didakwa gubah wang haram lebih RM1juta

Shah Alam: Pengarah syarikat yang menjalankan urusan jual beli sarung tangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM1 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh Mazne Che Mohd Amin, 32, membuat pengakuan tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Menurut pertuduhan, Mazne selaku pengarah syarikat memindahkan wang berjumlah kira-kira RM1.33 juta daripada akaun bank syarikatnya menerusi 14 transaksi hasil daripada aktiviti haram kepada sembilan akaun bank milik syarikat lain serta lima akaun perseorangan termasuk dua miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan sebuah bank tempatan di Sungai Besi, Petaling dekat sini antara 9 September hingga 17 Oktober 2020.

Dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b)Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama subseksyen 87 (1), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1) akta sama dan dibaca bersama perenggan 87 (1) (a) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Zalizan Lazarous menawarkan jaminan RM50,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Selain itu, pendakwaan turut memohon kesemua pertuduhan itu dibicarakan bersama dengan satu kes yang dihadapi tertuduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini.

Peguam Luqman Mazlan memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dan anak guamnya akur terhadap syarat jaminan lain.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM20,000 bersama seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan.

Helina turut membenarkan permohonan pemindahan keseluruhan kes itu ke Mahkamah Sesyen 11 dengan sebutan semula pada 13 Jun depan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker