Profesor ‘terbang’ dari Amerika peluk Islam di Malaysia

GEORGETOWN: “Lebih 20 tahun saya terdedah dengan Islam melalui pergaulan, saya tertarik melihat tingkah laku dan cara mereka membawa diri dalam masyarakat,” kata John Nash Houchen, 56..

Bekas profesor ekonomi di Universiti Winconsin itu sanggup ‘terbang’ dari Kentucky, Amerika Syarikat (AS) untuk memeluk Islam di Pulau Pinang, Isnin lalu.

Beliau mengucap dua kalimah syahadah di pejabat pesuruhjaya sumpah di Bandar Perda, Bukit Mertajam dengan dibimbing Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful (MyIKUT), Zolkifly Md Lazim.

Houchen yang bersara sebagai ahli akademik pada akhir tahun lalu, berkata beliau dan seorang rakan sekerja berasal dari Iran yang bertugas bersama di unversiti pada 1990-an kerap berbual berkaitan Islam dan masih berhubung sehingga kini.

“Dia lebih berusia daripada saya. Meskipun berdepan kehidupan mencabar di AS, dialah paling baik, penyabar dan sangat menghormati tetamu. Ia berdasarkan pengalaman saya sendiri yang pernah tinggal bersamanya.

“Saya menemukan nilai-nilai yang sama ditunjukkan pelajar Islam lain, termasuk dari Malaysia yang mengikuti kelas saya suatu ketika dahulu. Kehidupan mereka nampak teratur dan cara bercakap sangat sopan,” katanya ketika ditemui di Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Katanya, beliau mempunyai kenalan rapat di Pulau Pinang yang banyak membantu urusan pengislamannya dan kini sedang mengikuti pengajian agama di Kompleks Darul Hidayah di Permatang Tok Gelam, dekat sini, selain turut bercadang terus menetap di negeri ini.

Houchen yang gemarkan sate dan rendang, mengaku tertarik dengan sikap berbudi bahasa rakyat Malaysia dan berasa tidak kekok menyesuaikan diri dengan budaya setempat.

“Sebenarnya saya pernah berkunjung ke Pulau Pinang tidak berapa lama sebelum COVID-19 melanda. Apabila sempadan negara dibuka semula, saya kembali ke sini untuk meneruskan hasrat berhijrah yang tertangguh.

“Lebih istimewa, ketika dalam perjalanan ke Malaysia menaiki Qatar Airways, saya mendengar bacaan al-Quran, terasa indah walaupun saya tidak pernah membaca al-Quran sebelum ini. Ia menguatkan keyakinan saya untuk memilih Islam sebagai jalan hidup,” katanya.

Meminati aktiviti kesukarelawan dan pernah aktif menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anak bongsu daripada tiga beradik ini memaklumkan, ahli keluarganya bersikap terbuka apabila mengetahui hasratnya bertukar agama dan sentiasa berhubung menerusi panggilan video.

“Pertama kali melafaz kalimah syahadah pada Isnin lalu saya berasa gementar walaupun pada malam sebelumnya saya sudah hafal cara sebutan dalam bahasa Arab beserta maksudnya. Setelah selesai, saya berasa tenang.

“Saya perlu ambil masa untuk faham mengenai Islam, terlalu banyak maklumat. Perkara pertama saya buat selepas menjadi muslim ialah belajar solat dan cara-cara berwuduk. Terima kasih semua yang membantu, saya rasa ada kekuatan muncul dalam diri untuk terus optimis menjalani kehidupan mendatang,” katanya.

Sementara itu, Zolkifly berkata, pihaknya sentiasa bersedia menghulur bantuan bersesuaian serta membimbing saudara baharu yang dalam proses mengenali Islam dan memantau mengikut keperluan agar mereka tidak berasa bersendirian atau ditinggalkan terkapai-kapai setelah beroleh cahaya hidayah.

BHOnline

Leave a Reply